'Rakyat tak perlu takut keluar mengundi di PRN Johor walaupun kes Covid-19 meningkat' - Annuar Musa
Rakyat tidak perlu bimbang untuk keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan walaupun ketika ini berlaku peningkatan kes Covid-19.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, meskipun terdapat banyak kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika tempoh berkempen, susun atur proses pengundian dan SOP yang ditetapkan mampu mengawal penularan wabak itu.
"Tidak perlu ada rasa takut dan bila nak pergi mengundi mungkin ada proses ujian kendiri, malah pusat undi ada ruang khusus sekiranya (ada yang) positif (Covid-19), di peringkat pihak berkuasa telah susun atur mengikut SOP dan norma baharu dalam mengendalikan PRN Johor.
"Insya-Allah, semuanya akan berjalan baik dan terkawal," katanya pada sesi soal jawab ketika program Bicara Keluarga Malaysia di Dewan Auditorium RTM Johor di sini hari ini.
Beliau ditanya oleh seorang hadirin mengenai SOP berkempen dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memberi lebih banyak kelonggaran berbanding PRN sebelum ini walaupun berlaku peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.
Penganjuran ceramah, syarahan dan kempen secara fizikal dan ziarah rumah ke rumah dibenarkan sepanjang 14 hari tempoh berkempen PRN Johor.
Menurut SOP dikeluarkan SPR, ceramah dan kempen hanya dibenarkan di pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang, manakala bagi kempen ziarah rumah ke rumah, penyertaan tidak melebihi lima orang.
Mengulas lanjut, Annuar berkata rakyat perlu memahami bahawa negara ini sedang beralih ke fasa endemik yang bermakna kehidupan termasuk sistem demokrasi perlu kembali seperti biasa namun dengan amalan norma baharu.
"Banyak kelonggaran dibenarkan seperti ceramah, kempen dan ziarah rumah ke rumah berdasarkan SOP yang ditetapkan. Ini maknanya kita mesti kembali kepada keadaan biasa tetapi dengan norma baharu dan pilihan raya adalah sebahagian proses dituntut dalam Perlembagaan.
"Sekiranya, berkempen tidak boleh maka cacatlah proses demokrasi itu. Kita perlu bergerak ke arah biasa tetapi dengan norma baharu. Kalau perkara itu difahami maka pengundi tidak perlu takut," jelasnya.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Annuar sekali lagi mengulangi bahawa kerajaan bersikap terbuka dalam mengizinkan media rasmi kerajaan dijadikan medium memperkenalkan calon parti bertanding termasuk pihak pembangkang.
"Soal berkempen itu ada lagi medium lain yang boleh digunakan termasuk media sosial. Kita ambil kira pandangan diberikan tetapi buat masa ini, belum lagi kempen secara langsung melalui RTM," katanya.
Semalam, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis pengumuman calon zon tengah dan zon timur berkata parti pembangkang masih belum diberi ruang untuk menggunakan saluran media rasmi seperti yang pernah disebut Ahli Parlimen Ketereh itu sebelum ini.
Sumber: Bernama
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment