7 kali gagal ujian memandu, kali ke-8, kereta terbalik


CHINA - Seorang wanita di Zhuhai, Guangdong, menjalani latihan memandu buat kali kelapan setelah seringkali gagal dalam ujian permohonan lesen memandunya. 

Malangnya, dia bukan sahaja gagal buat kali kelapan, malah kereta yang dipandunya itu terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan kereta itu terbalik, lapor Oriental Daily. 

Kejadian itu berlaku pada 18 Ogos lalu, apabila mangsa hilang kawalan ketika melalui jalan berbentuk 'S' dan terus melanggar sebatang pokok berhampiran, menyebabkan keretanya terbalik. 

Bagaimanapun, mangsa terselamat dari sebarang kecederaan teruk dan mampu keluar dari kereta tersebut. 

Berdasarkan video yang dirakam orang awam, dua lelaki menghulurkan bantuan dan cuba menenangkan mangsa yang kelihatan panik dengan kejadian yang berlaku. 

"Tak apa, tak ada apa. Yang penting awak tak cedera. Jangan panik, buka tali pinggang keselamatan dan keluar perlahan-lahan," pujuk salah seorang lelaki berkenaan. 


Menurut mangsa, "Saya dah tekan pedal brek apabila kereta menghampiri selekoh, tetapi kereta ini bergerak semakin laju, jadi saya tekan pedal brek dengan lebih kuat, tetapi kereta ini tidak mahu berhenti," katanya. 

Namun selepas pulih dari keadaan trauma itu, barulah mangsa tersedar bahawa dia sebenarnya tertekan pedal minyak yang disangkanya pedal brek. 

Difahamkan, mangsa sebelum ini cuba memohon dan menjalani ujian lesen kereta manual selama lima kali, tetapi gagal. Mangsa masih nekad mahu memiliki lesen kereta dan cuba memohon dan menjalani ujian lesen memandu automatik sebanyak dua kali, malangnya dia masih menemui kegagalan. 



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.