'Anakku Zulfiqar Mikail 31/3/17 - 19/8/17, Al-Fatihah' - Disangka muntah kerana dilahirkan pra-matang, rupanya usus bayi ini sudah pecah


Sedihnya hati si ibu yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata apabila bayi lelakinya meninggal dunia akibat jangkitan kuman di paru-paru dan perut. Sebelum kejadian itu, si ibu membawa anaknya ke klinik pakar dan hospital, namun doktor mengatakan anaknya sihat dan tiada apa-apa dan apa yang berlaku adalah kerana bayinya lahir tidak cukup bulan (pra-matang). 

Malangnya, setelah keadaan bayinya kritikal dan bila menjalani imbasan x-ray, doktor mengesahkan usus perutnya sudah pecah. Si ibu hanya sempat menjaga anaknya selama 142 hari. Semoga Puan Noorhaslinda dan keluarga tabah menghadapi dugaan ini. 

TUJUH BULAN Allah tumpangkan sayang dalam rahim ibu. Kawan yang selalu ada dengan ibu tanpa mengira masa. Bahagianya hidup ibu di saat sayang mula menendang-nendang dalam perut. Perasaan yang tidak terucap apabila sayang selamat dilahirkan walaupun perut ibu dibelah untuk melahirkan sayang. Ibu menahan sakitnya demimu, anak. 


43 hari sayang berada di NICU. Seusai balik hanya 99 hari Allah beri ibu jaga sayang. Terlalu cepat semua ini, anak. Ibu tidak bersedia untuk semua ini. Terasa gelap dunia ini bila doktor memaklumkan bahawa usus sayang pecah, sedangkan sayang tidak pernah meragam dari hari pertama sayang dilahirkan. 

Ibu bawa sayang pergi ke klinik pakar, ke hospital kerajaan SP. Tetapi kata-kata doktor semuanya sama.

"Anak puan sihat, keadaan dia normal. Dia muntah-muntah pancut susu itu normal untuk baby dan memang akan melalui semua perkara itu. Baby tak berak untuk beberapa hari itu juga adalah normal. 

"Perut keras cekang itu sebab dia menangis jadi keras. Telur bengkak sebab dia bayi pra-matang, memang telur tak turun habis lagi sebab dia lahir awal bulan," kata doktor. 

17 Ogos 2017, hospital buat imbasan x-ray pada perut sayang. Doktor kata dalam x-ray tak nampak apa-apa yang pelik. Doktor tak tahu apa puncanya. Jadi, sayang akan dipindahkan ke HSB untuk mendapatkan rawatan lanjut dari doktor pakar di sana. 

Pada pagi 18 Ogos 2017, seakan terhenti nyawa ibu saat ke HSB. Nafas sayang terlalu semput. Ibu risau bila jururawat masukkan ubat di bontot untuk cuci dalam mudahkan sayang membuang air besar. Tetapi ubat itu telah masuk ke atas dan cuci usus sayang. 

10 minit selepas ubat itu dimasukkan, terus keadaan sayang berubah nampak terlalu penat. Allahu anak, dua jam sayang bunyi nafas yang pendek tanpa henti.

"Doktor, kenapa anak saya bunyi macam itu tanpa henti selama dua jam dah?" soal ibu pada doktor. 

"Kenapa ya puan? Tadi jadi macam ini, tak? Memang selalu anak puan bunyi begini ke? Sebab tadi bayi puan sihat dan normal saja," doktor menyoal saya kembali. 


Doktor berkenaan tidak dapat mengenal punca masalah yang berlaku lalu merujuk pada doktor pakar. Menurut doktor pakar, sayang dah kekurangan oksigen. Doktor masukkan wayar oksigen di hidung sayang tetapi tidak cukup, doktor terpaksa masukkan tiub oksigen direct ke paru-paru sayang. 

Allahu anak, air mata ibu tak berhenti-henti mengalir bila saat melihat keadaan anak yang ibu kandung tujuh bulan, berselirat dengan wayar di badan. Doktor buat x-ray di perut anak ibu dalam masa yang teramat cepat. Doktor beritahu:

"Hasil x-ray menampakkan usus anak puan dah pecah. Telur yang bengkak itu sebab usus keluar masuk ke situ sebab ada lubang di situ. Susu, ubat-ubatan yang anak puan makan tidak masuk ke saluran yang betul sebab ususnya sudah pecah. Jadi semuanya bercampur dalam perut menjadi air berasid. 

"Air berasid itu naik ke paru-paru lalu menyebabkan ada jangkitan kuman di paru-paru dan perut.," kata doktor. 

Allahuakhbar anak, macam mana ibu nak menerima semua ini sedangkan di SP, doktor semua kata anak ibu sihat, normal dan tiada masalah apa-apa. Baru sehari di HSB, doktor terus dapat kesan usus anak ibu sudah lama rosak. Jadi doktor terpaksa melakukan pembedahan segera walaupun risiko untuk umur sayang yang terlalu kecil. 

Petang 18 Ogos 2017, sepatutnya pembedahan dilakukan tetapi doktor kata keadaan anak ibu kritikal menyebabkan doktor tak dapat jalankan pembedahan kerana ia membahayakan nyawa sayang jika diteruskan. Jadi, doktor tundakan pembedahan sehingga sayang stabil semula. Tetapi doktor kata,

"Kami akan tebuk lubang di perut bayi puan dulu untuk membantu dia menjadi lebih okay, bagi asid-asid dalam perut keluar dulu," katanya. 

Doktor menghubungi ibu untuk menandatangan borang tambah darah anak ibu sebanyak dua kali sebab darah anak tak cukup untuk buat pembedahan pada pagi 18 Ogos 2017. 

Selang sejam kemudian, ibu dapat panggilan dari doktor yang mengatakan anak ibu sudah terlalu lemah dan meminta ibu dan abi datang ke PICU berjumpa dengan sayang. Allahu anak, kaki ibu seolah-olah berpijak ke bumi saat melihat keadaan sayang. Bunyi 'bip' pada mesin itu tak mampu ibu dengar sayang. 

"Anak puan dah tak ada," kata doktor. 


Gelap dunia ibu sayang. Sekelip mata hilang segala-galanya. Beratnya untuk ibu nak menerima semua ini sayang. Selama ini adanya sayang di dunia, Alhamdulillah Allah kurniakan ibu anak lelaki yang sangat comel, baik, tak meragam, tak menangis, aktif, ceria sangat. Macam mana ibu nak terima bila sayang yang tak pernah sakit tiba-tiba disahkan usus pecah? 

Anak, ibu kuat demi sayang walaupun hakikatnya Allah saja yang tahu. InshaAllah ibu akan kuat. Sayang doakan ibu ya, sayang? Ibu terlalu rindukan sayang. Hati ibu tak mampu nak menerima semua ini, sayang. Tetapi ibu akan kuat, redha atas takdir Allah. 

Duhai anak syurgaku, berbahagialah sayang di sana. Selamatlah kami di sana anak, atas takdir Allah. Duhai anak syurgaku, berbahagialah sayang di sana. 

Selamatlah kamu di sana anak. Sejuk perut ibu melahirkan sayang. Walaupun hanya 142 hari Allah pinjamkan ibu anak yang baik, ibu bersyukur perut ini yang mengandungkan sayang walaupun hanya tujuh bulan sahaja. 

Hilang segala sakit ibu bila setiap kali menatap wajah, bahagianya ibu. Allah izinkan ibu untuk menjadi seorang wanita walaupun sekejap. Nikmat kebahagiaan bersamamu tidak akan pernah hilang di ingatan ibu selama hayat ibu. Terima kasih menjadi penyeri dalam hidup ibu selama 142 hari di dunia. Tenanglah di sana wahai duhal anak. Berehatlah dengan baik. 

Nantikan ibu dan abi ya sayang, Zukfiqar Mikail bin Mohamad Zul Amyruddin, 1 Mac 2017 - 19 Ogos 2017. Al-fatihah. 

Assalamualaikum anak syurga ibu.



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.