Berebut teman wanita sampai perut terburai


KAJANG, SELANGOR - Susulan kes penahanan empat lelaki yang membawa seorang penumpang dalam keadaan berlumuran darah dan perut terburai, siasatan mendapati kejadian berpunca dari berebut teman wanita, lapor Harian Metro. 

Mangsa berusia 23 tahun, ditetak dengan parang di kondominium PV20, Setapak, dan dibawa ke Kajang oleh penyerangnya sebelum ditahan polis dalam sekatan jalan raya di Jalan Reko, jam 11.30 malam kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, mangsa yang cedera itu hendak dibawa oleh empat individu terbabit ke Kajang untuk 'menyelesaikan' masalah berkenaan. 

"Empat suspek yang ditahan, direman selama tiga hari bermula Ahad lalu sehingga esok (Selasa). 

"Punca kejadian dipercayai akibat berebut teman wanita sebelum suspek dan mangsa membuat pertemuan di PV20. 

"Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang akan menyerahkan kes ini untuk disiasat IPD Wangsa Maju," katanya. 


Dalam sekatan jalan raya pada jam 11.20 malam di selekoh Jalan Reko menghala ke Metro Kajang, Ahad lalu, polis menahan lima suspek termasuk pemandu yang berada dalam keadaan mencurigakan. 

Pemandu kereta Honda Accord itu juga cuba menyogok anggota yang bertugas, menyebabkan pemeriksaan menyeluruhkan dilakukan pada kereta mereka. 

Hasil pemeriksaan berjaya menemui sebilah parang di bonet belakang dan seorang penumpang lelaki dalam keadaan berlumuran darah dan perut terburai. 


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.