Ahli Parlimen BN beri alasan enggan isytihar harta kerana bimbang jadi sasaran penculik - Menteri


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong mendedahkan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) enggan mengisytiharkan harta mereka atas alasan bimbang diri mereka atau keluarga terdekat menjadi sasaran penculik atau diperas ugut. 

Beliau berkata, kebimbangan Ahli Parlimen BN itu adalah tidak berasas kerana, menteri telah membuat pengisytiharan pada Oktober 2018 dan semua aset telah dipaparkan di portal. Sehingga ke hari ini, tiada satu pun kes peras ugut atau penculikkan yang melibatkan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan juga keluarga mereka. 

"Ketakutan yang digambarkan oleh Ahli Parlimen BN itu untuk tidak mengisytiharkan informasi penting ini kepada rakyat adalah tidak berasas. 

"Tidak sepatutnya harta wakil rakyat menjadi rahsia. Ahli Parlimen perlu mengorbankan rahsia itu demi ketelusan dan sikap bertanggungjawab kepada orang ramai. 

"Jika maklumat itu tidak didedahkan, speaker boleh mengenakan dakwaan menghina dewan rakyat dan menggantung atau mendenda mereka. Jadi, Ahli Parlimen perlu berkorban dalam isu itu," katanya. 

Difahamkan, tiada seorang pun Ahli Parlimen BN mengisytiharkan harta mereka berbanding Ahli Parlimen PH telah membuat pengisytiharan.

Ahli Parlimen BN memutuskan untuk tidak mematuhi usul Parlimen untuk memaksa mereka mengisytiharkan harta atas alasan ia adalah di luar bidang kuasa Parlimen. 

Sementara itu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyerahkan keputusan kepada Ahli Parlimen mereka untuk berbuat demikian. Manakala PAS pula berkata, wakil rakyatnya tidak perlu berbuat demikian kerana sudah mengisytiharkan harta kepada parti. 



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.