Pemandu Toyota Harrier 'sambung loan' serah diri & terus direman 4 hari


Pemandu Toyota Harrier sambung loan yang memukul pemandu Perodua Kancil sehingga viral di media sosial, tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas pada jam 11 malam, Isnin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Suspek bertindak menyerah diri selepas video yang menunjukkan dirinya membelasah mangsa viral di media sosial dan turut disiarkan oleh media tempatan. 

"Suspek mengakui bertindak sedemikian selepas terkejut dengan tindakan pemandu kereta Perodua Kancil yang memotongnya secara tiba-tiba. 

"Bagaimanapun, suspek tetap bersalah, malah tindakan itu dianggap sebagai samseng jalanan kerana secara melulu menghimpit kenderaan mangsa sehingga terbabas selain turut memukul (mangsa) menggunakan besi," katanya. 

Ekoran itu, kereta suspek ditahan, baju dan besi boleh laras yang digunakan suspek untuk memukul mangsa juga turut dirampas. 

Difahamkan, mangsa pada ketika kejadian dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pasir Puteh selepas melawat isterinya yang baru bersalin di rumah mentua di Pasir Mas. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau sebat, atau mana-mana dari dua hukuman tersebut jika didapati bersalah. 

"Selain itu, ia disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang jika didapati bersalah boleh dipenjara selama enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali," katanya. 

Sumber: Harian Metro

LAPORAN BERKAITAN


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.