Tak puas hati dipotong, suspek himpit sehingga kereta Kancil terbabas - Polis


Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif mengesahkan pemandu Toyota Harrier memukul pemandu Perodua Kancil dalam video viral hari ini mempunyai tiga rekod jenayah lampau. 

Beliau berkata, kejadian yang berlaku pada jam 4.46 petang tadi di Jalan Kampung Atas Pinggir, Bunut Susu, Pasir Mas berpunca dari suspek yang berusia 45 tahun itu berang keretanya dipotong oleh mangsa.

Suspek terus bertindak melanggar dan menghimpit Perodua Kancil yang dipandu lelaki berusia 35 tahun itu sehingga terbabas ke dalam parit, sebelum keluar dan memukul mangsa menggunakan besi. 

"Mangsa mengakui memotong kenderaan terbabit disebabkan suspek memandu sangat perlahan serta dalam keadaan ke kiri dan ke kanan.

"Sebaik saja mangsa memotong, suspek terus mengekori dan menghimpit sehingga kenderaan mangsa terbabas. Suspek kemudian meluru dan memukul mangsa menggunakan besi sehingga menyebabkan kecederaan.

"Berikutan kejadian itu, mangsa mengalami luka sepanjang tiga sentimeter di kepala dan bengkak serta calar di lengan. Mangsa mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang," katanya. 

Semakan juga mendapati, kereta Toyota Harrier itu didaftarkan atas pemilik wanita yang beralamat di Bangi yang kemudian menjelaskan bahawa kereta itu diberikan sambung bayar kepada sebuah syarikat kereta di Kelantan. 

Polis kini sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan 279 Kanun Keseksaan. 

Sumber: Harian Metro

LAPORAN BERKAITAN


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.