Ingkar perintah kuarantin, Menteri dikompaun RM1,000 jer


Baru-baru ini media melaporkan ada seorang ahli Kabinet tidak melakukan kuarantin diri selama 14 hari selepas pulang dari Tukri susulan pertikaian dari Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di Parlimen mengenai ketidakpatuhan arahan kuarantin oleh Ahli Parlimen berkenaan.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dikritik teruk oleh pelbagai pihak kerana mengingkari arahan kuarantin seperti yang ditegaskan oleh pihak berkuasa sebelum ini. 

Khairuddin bagaimanapun banyak berdiam diri dan enggan mengeluarkan kenyataan mengenai isu itu dan hanya meminta orang ramai menunggu jawapan dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

Malah, netizen turut mewujudkan satu petisyen yang menuntut Ahli Parlimen Kuala Nerus itu meletak jawatan kerana gagal mematuhi SOP Covid-19 selepas melakukan lawatan ke luar negara.

KOMPAUN RM1,000 SAHAJA

KKM hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa, Khairuddin dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 atas kesalahan melanggar perintah kuarantin.

Di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), kerajaan mewajibkan semua individu yang baru tiba dari luar negara termasuk warganegara dan warga asing untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebagai langkah mengekang penularan COVID-19. 

Menurut KKM, Khairuddin melakukan kesalahan tersebut dan disebabkan itu, Pegawai Diberi Kuasa (PDK) mengeluarkan kompan sebanyak RM1,000 kepada Khairuddin pada 7 Ogos lalu dan Khairuddin telah membayar kompaun itu. 

Dalam kenyataan tambahan, Khairuddin pulang dari Turki pada 7 Julai lalu dan sampel kali pertama sudah diambil pada hari yang sama di mana keputusannya adalah negatif.

MOHON MAAF DAN SUMBANGKAN GAJI 4 BULAN KE TABUNG COVID-19

Jumaat 21 Ogos 2020, Khairuddin mengeluarkan kenyataan bahawa dia telah membuat ujian Covid-19 sebanyak tiga kali iaitu pada 7 Julai, 13 hari kemudian dan baru-baru ini sebelum hadir ke satu acara di Istana Negara yang mana menurutnya pasti tidak akan berlaku jika dia positif Covid-19.

Hari ini, 22 Ogos 2020, Khairuddin berikrar akan memulangkan gajinya sebagai menteri selama empat bulan bertugas atas rasa bertanggungjawab. Gaji empat bulan itu katanya akan disumbangkan ke Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19) di bawah KKM.

"Saya dengan ini akan memulangkan semua gaji saya sebagai Menteri untuk Mei hingga Ogos sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia. 

"Gaji Mac dan April juga disumbangkan ke tabung berkenaan sebagaimana keputusan Kabinet sebelum ini. 

"Saya dengan ini memohon jutaan kemaafan kepada seluruh rakyat Malaysia atas kekhilafan yang berlaku. 

"Sebagai menteri, saya bertanggungjawab untuk akur kepada pengaturan dan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya.

Berbeza dengan kes sebelum ini di mana seorang wanita warga emas dihukum penjara sehari dan didenda RM8,000 selepas mengaku salah melanggar perintah kuarantin kendiri apabila tiba dari luar negara. 

Dalam kes berasingan, pemilik restoran di Kedah pula dipenjara lima bulan dan denda RM12,000 atas kesalahan yang sama.

Sumber: Harian Metro, MalaysiaKini



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.