'Si ibu terpaksa tinggalkan bayi dalam kereta sebab takut Tesco tak bagi masuk' - Saksi


Sebelum ini tular berita mengenai kes bayi atau kanak-kanak yang ditemui meninggal dunia di dalam kereta kerana bapanya terlupa mengambil anaknya. Bukan kerana sengaja, tetapi faktor kecuaian ibu bapa sendiri. 

Isu sebegini tidak seharusnya dipandang ringan oleh ibu bapa, apatah lagi apabila melibatkan nyawa anak-anak yang masih kecil.

Hari ini, viral pula kejadian yang sama  di ruang tempat letak kereta di pasar raya Tesco Egate, Pulau Pinang di mana seorang bayi berusia bawah lima bulan ditinggalkan dalam kenderaan di kerusi keselamatan kanak-kanak tanpa ditemani orang dewasa.

Mangsa ditemui oleh seorang kakitangan Tesco yang kebetulan melalui kawasan itu lalu meminta bantuan orang awam yang berada berhampiran. 

Tingkap pintu kereta kelihatan sedikit terbuka, membolehkan lelaki itu membuka pintu dari bahagian dalam dan terus menyelamatkan bayi berkenaan. 





Menurut saksi yang berada di lokasi berkata, 15 minit kemudian ibu kepada bayi itu muncul dan menjelaskan dia terpaksa meninggalkan bayinya di dalam kereta. 

"Ibu bayi itu kata dia terpaksa tinggalkan kerana bimbang pihak Tesco tidak membenarkan dia membawa bayinya masuk atas faktor Covid-19.

"Disebabkan itu dia terpaksa meninggalkan anaknya seketika di dalam kereta. 

"Tetapi pegawai pengurus Tesco menjelaskan, pihaknya tidak pernah menghalang kanak-kanak atau warga tua dari memasuki premis mereka," katanya.

Biar apa pun alasannya, jangan sesekali meninggalkan anak kecil bersendirian dalam kereta. Sesulit mana pun keadaan, pasti ada jalan penyelesaian yang lain dari merisiko nyawa anak kecil. 

Sumber: Penang Kini, Info Roadblock JPJ/POLIS



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.