'Ibu yang suruh bunuh' - Wanita dibunuh anaknya yang baru bebas dari penjara, selepas terdengar bisikan suara halus


Seorang wanita warga emas berusia 55 tahun maut dibunuh oleh anak sulungnya sendiri dalam kejadian di Kampung Pesagi, Chenor, Pahang, awal pagi Khamis lalu, lapor Kosmo. 


Dalam kejadian pada jam 1.30 pagi itu, mangsa, Mariani Ismail, yang tinggal bersama cucunya berusia 10 tahun, ditemui maut dalam keadan berlumuran darah dan kesan tetakan di dahi, perut, tangan kanan dan mulut. 


Suspek merupakan anak sulung dari sembilan beradik, berusia 39 tahun itu baru sebulan dibebaskan dari penjara atas kesalahan berkaitan dadah. 


Difahamkan, Mariani sebelum ini pernah menasihati suspek untuk tidak lagi membeli benda terlarang itu, selepas permohonan suspek untuk mengeluarkan duit i-Sinar diluluskan. 


Menurut sumber Kosmo, suspek seolah-olah sudah merancang awal untuk membunuh mangsa apabila dia menutup pintu dan lampu luar rumah, serta memakai parang yang baru dibelinya, di pinggang. 


Suspek kemudian pergi ke bilik mangsa yang sedang tidur bersama dengan cucu lelaki, lalu mencekiknya terlebih dahulu. Mangsa sempat mengarahkan cucunya melarikan diri. Kanak-kanak itu segera membuka pintu dan berlari ke rumah salah seorang anak perempuan mangsa yang tidak berdekatan untuk memaklumkan kejadian itu. 


Anak perempuan mangsa terus pergi ke rumah ibunya, tetapi tidak berani memasuki rumah itu kerana mendapati suspek sedang duduk di tepi pintu sambil memegang parang. Dia kemudian menghubungi adik beradiknya yang lain memaklumkan mengenai kejadian tersebut. 


Anak kelima mangsa, Firdaus Ahmadiah, 36, segera datang dan terus masuk ke rumah tanpa mempedulikan abangnya yang duduk di pintu sambil memegang parang. 


"Saya meluru masuk dan memapah ibu yang sudah tidak bergerak dengan kesan kecederaan yang serius. Saya bertanya kenapa abang buat ini dan dia memberitahu bahawa ibu yang suruh dia bunuh," katanya. 


Mangsa dikejarkan ke Klinik Chenor untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia. 


Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nayan mengesahkan pihaknya telah menahan reman suspek sehingga 5 Mei 2021 untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 


Keputusan ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. Berdasarkan rekod, suspek baru sahaja selesai menjalani hukuman penjara pada Mac 2021. 


Suspek mengaku membunuh ibunya sendiri setelah mendengar bisikan suara halus yang meminta dia berbuat demikian. 


Sumber: Kosmo



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.