'Nape tutup komen? Biji tel*q dah kecut?' - kata netizen, tapi dah sampai KKM sediakan Kontena Khas pun masih tak percaya Covid-19 itu wujud, masih ada yang ingkar SOP


Ahad, 16 Mei 2021, seramai 32 orang awam ditahan kerana berkeliaran, melepak dan memancing di Dataran Persiaran Karpal Singh, George Town, Pulau Pinang sedangkan kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. 


Kerajaan telah melaksanakan PKP 3.0 seluruh negara bermula 12 Mei hingga 7 Jun bagi mengekang penularan wabak Covid-19, susulan trend peningkatan kes positif Covid-19 yang semakin membimbangkan di mana ada kes baharu setiap hari masih kekal pada lima angka. 


Kesemua orang awam terbabit ditahan oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Jalan Petani yang terdahulu membuat pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan tumpuan ramai. 



PKP 3.0, RAKYAT MASIH INGKAR, LANGGAR SOP, BAGAIKAN KEBAL DARI COVID-19


Sementara itu di media sosial, netizen turut berkongsi kedegilan sebahagian besar masyarakat yang jelas melanggar SOP dengan mengunjung pusat beli-belah di beberapa lokasi popular, termasuk sebuah pusat beli-belah di Putrajaya. 


Di waktu sebegini, orang ramai sepatutnya duduk di rumah dan hanya keluar sekiranya terdapat keperluan untuk berbuat demikian. Contohnya membeli barang keperluan rumah dan anak.


Tetapi berdasarkan gambar dan video yang dikongsikan di media sosial, rata-rata masih ingkar seolah-olah diri mereka kebal dari virus berbahaya itu. Hal ini membuatkan netizen tertanya-tanya apakah pelaksanaan PKP 3.0 kali ini berkemampuan untuk menurunkan angka kes atau masih kekal meningkat. 


SEDIA KONTENA KHAS UNTUK MAYAT/JENAZAH MANGSA COVID



Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam turut berkongsi gambar sebuah kontena yang terletak di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sungai Buloh yang dikatakan digunakan sebagai kontena khas untuk menempatkan mayat atau jenazah yang meninggal dunia kerana Covid-19.


Difahamkan pihak hospital terpaksa mengambil langkah sedemikian kerana tempat penyimpanan mayat/jenazah yang sedia ada sudah penuh. 


"Lebih 80 peratus kematian akibat jangkitan Covid-19 di negara ini adalah daripada golongan berusia dan menghidap lebih satu penyakit kronik atau komorbiditi. Kebanyakan mereka mendapat jangkitan daripada ahli keluarga terdekat. 


"Jika anda tinggal bersama golongan berisiko tinggi, lindungi diri anda untuk melindungi mereka," kata kenyataan KKM di Facebook. 


USAHA FRONTLINERS DIPERLEKEH, DIPERSENDA TANPA RASA BERSALAH



Pun begitu, masih ramai netizen yang 'menyerang' KKM dengan mengatakan angka kes positif yang dimaklumkan setiap hari itu adalah palsu kerana mahu menghalang orang ramai dari pulang ke kampung menyambut hari perayaan. 


Keadaan ini memaksa KKM terpaksa menutup ruangan komen dan dalam masa yang sama barisan Frontliners terkilan dengan tindakan tidak bertanggungjawab netizen yang memperlekehkan usaha KKM membendung penularan wabak Covid-19. 16 bulan frontliners korbankan tenaga tanpa henti, semata-mata untuk menyelamatkan mangsa Covid-19, masih lagi tidak mampu menyedarkan orang ramai yang berterusan mentertawakan usaha frontliners. 


Apa lagi yang netizen mahukan? Mahu diri sendiri dan keluarga masing-masing dijangkiti virus berbahaya tersebut yang seterusnya menikmati kesengsaraan yang tidak diingini itu untuk sedar bahawa ini semua bukan permainan angka? 


Bak kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, "Kita tidak mahu sampai kepada tahap perlu pilih siapa yang hidup, siapa yang mati."



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.