'Bersyukurlah ada makanan'


PERLIS - Viral di media sosial status Facebook seorang wanita yang tidak berpuas hati dengan makanan yang diberikan pada mangsa banjir, baru-baru ini. 

"Ini adalah makanan untuk mangsa banjir, taugeh dan sardin untuk hari ini. Sedih sangat. Apa reaksi anda?" katanya dalam group Facebook Saya Anak Perlis. 

Ramai netizen yang kesal dengan tindakan wanita terbabit yang dianggap tidak bersyukur dengan makanan yang diberikan, sedangkan dalam keadaan darurat seperti itu, tidak sewajarnya melemparkan kata-kata demikian. 

"Bersyukurlah puan. Itu baru ujian sebab banjir yang tak seberapa. Kadang-kadang Allah turunkan musibah supaya hambaNya berfikir dan bersyukur. Tetapi itulah manusia, banyak yang tak bersyukur, Allah tarik nikmat," kata Chempaka. 

"Itu dah kira sedaplah, asal dapat makan. Saya dulu pun mangsa banjir juga. Duduk di sekolah rendah hampir seminggu pada tahun 2006. Masa itu banjir besar di Muar, Johor. Makan pagi lain, makan tengah hari lain, takkan setiap masa nak makan ay am daging ikan mahal-mahal? Nama pun banjir, makan saja apa yang ada. Untung ada dari tak ada," kata Khairiah Safie Nur Kaseh. 



Bagaimanapun, seorang sukarelawan di pusat banjir berkenaan, Syam Gema, memberi penjelasan mengapa hanya sardin dan taugeh sahaja yang diberikan kepada mangsa-mangsa banjir. 

"Oleh kerana saya ada di tempat masak untuk mangsa banjir, saya nak tolong jkawab kenapa dia dapat sardin dan taugeh. Untuk pengetahuan kakak ini dan yang lain, menu tengah hari tadi adalah Gulai Ikan Nyoqnyoq dan taugeh itu. Oleh kerana ada permintaan tambahan, ikan nyoqnyoq habis. Nak pergi cari, takdan dah. Kedai runcit sebelah tempat masak ini saja. Jadi belilah sardin untuk ganti ikan nyoqnyoq itu.

"Untuk menu malam ini, ayam goreng dan sayur kubis. Apabila sayur kubis habis, mereka buat ayam masak kicap sebab nak bagi ada kuah. Dalam masa yang sama dapat makluman kawasan di Kampung Telok, Behor Gelam dan Alor Banat air naik disebabkan air pasang besar. Ada permintaan makanan lagi. Ayam dah habis, maka terpaksa guna sardin dan telur rebus untuk sedikit permintaan tambahan itu. 

"Untuk makluman, Yayasan Pok Kassim adalah pusat operasi memasak untuk semua pusat dan penempatan banjir tak kira yang berpindah atau tidak berpindah. Untuk pusat pemindahan geng JKM datang ambil makanan. Manakala yang tidak berpindah, anggota JPAM pergi hantar di mana saya turut serta bersama. Kami hantar di khemah-khemah yang dibuat oleh JKKK di tepi jalan. Geng JKKK akan maklum kepada penduduk yang tidak berpindah untuk datang mengambil nasi di khemah tersebut. 

"Ketua chef memasak adalah abang-abang askar Rejimen 504. Mereka bermalam dan tidur dalam kehmah di YPK ini. Setiap hari seawal jam 4 pagi mereka dah bangun untuk menyediakan sarapan pagi. Mereka dibantu oleh sukarelawan dari APM, pelajar Unimap, IKBN, UiTM dan sukarelawan YPK. Esok pagi menu bihun goreng ya. Sekian terima kasih," katanya. 


Susulan viral itu, Azizah Abdullah tampil memohon maaf di group Facebook yang sama dan menjelaskan bahawa dia tersilap menerima maklumat. 

"Saya memohon maaf atas kesilapan info tadi dan saya sedar bahawa itu adalah kelemahan saya dan saya berterima kasih atas teguran yang diberikan. Ini menjadi pengajaran buat saya. 

"Saya memohon maaf buat warga Saya Anak Perlis dan semua sukarelawan untuk mangsa banjir. Semoga hubungan yang baik ini dapat diteruskan untuk masa akan datang. InshaALlah. 


"Semua manusia tidak lari dari melakukan kesilapan. Kita hanyalah manusia biasa. InshaAllah saya akan lebih berhati-hati dalam segala hal. Harap info ini dipadamkan untuk menjaga nama baik kita bersama, terima kasih," katanya. 


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.