'Sabah dan Sarawak ditadbir secara 'ketat' sehingga tak boleh bernafas di era Mahathir' - Annuar Musa


KUALA LUMPUR - Sabah dan Sarawak ditadbir secara 'ketat' ketika era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad berbanding pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, demikian kata Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa. 

Menurut Annuar, bekas perdana menteri itu mengambil kesempatan terhadap Sarawak sehingga mengabaikan pembangunan fizikal di negeri itu. 

"Kita tahu cara Dr Mahathir, beliau mentadbir secara mengawal dengan ketat Sabah dan Sarawak. Waktu itu Sabah dan Sarawak tidak boleh 'bernafas', tidak seperti di bawah kepimpinan Najib. 

"Kerana waktu itu kuasa politik Barisan Nasional (BN) yang kuat, Dr Mahathir mengambil kesempatan terhadap Sarawak. Beliau 'terlepas pandang' tidak cuba beri prasarana seperti Lebuhraya Pan-Borneo seperti Najib lakukan sekarang. 

"Beliau tidak cuba melihat masalah kawasan pendalaman di Sarawak. Waktu itu saya Menteri Pembangunan Luar Bandar, kita (kerajaan) cuma tengok secara am sahaja. Baru sekarang beliau gambarkan (kaji semula Perjanjian Malaysia 1963). 

"Sepatutnya beliau gambarkan kepada kami ketika menjadi Perdana Menteri pada ketika itu. Sewaktu ada mandat beliau tidak hendak buat, waktu tidak ada mandat, baru hendak buat," katanya memetik laporan dari Berita Harian hari ini. 

Tambah Annuar lagi, Dr Mahathir tidak sepatutnya cuba memperbodohkan rakyat Sarawak dengan hendak mengkaji semula Perjanjian Malaysia. 

"Orang Sarawak bijak berpolitik dan mereka sentiasa dinamik. Saya fikir ada perkara tertentu yang mereka suarakan itu memang menjadi hak orang Sarawak. 

"Malah, Najib dengan pendekatan terbukanya bersedia melihat perkara itu kerana menyedari Sarawai punyai hak tetapi ia boleh dirunding secara jujur dan ikhlas," katanya.


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.