'Dia melamar saya menjadi madunya' - Tak mahu suami terabai, isteri cari isteri kedua untuk suami
“Selepas disahkan mengandung, saya tidak sihat. Suami terpaksa dukung setiap hari untuk naik ke pejabat di tingkat tiga. Apabila melihat wajah suami, hati saya terdetik untuk membantunya dan saya berusaha mencari seorang lagi isteri untuknya.
“Saya terfikir jika keadaan ini berterusan siapa hendak jaga suami. Lantaran, saya mengambil keputusan untuk mencari jodoh untuknya.” kata Khuzatul Atiqah.
Seawal perkenalan Khuzatul Atiqah dan madunya, Nur Fathonah yang merupakan ibu tunggal dua orang anak adalah bermula melalui laman sosial. Semenjak dari itu, mereka saling berhubungan. Katanya, pertemuan berlaku tahun lalu dan pada ketika itu, Khuzatul Atiqah tidak berbincang mengenai niatnya sehingga pertemuan kedua beberapa bulan kemudian.
Semasa Khuzatul menyampaikan niatnya, Nur Fathonah hanya mendiamkan diri. Selepas diterangkan kebaikan berpoligami, akhirnya Fathonah bersetuju.
“Sesungguhnya... cantik aturan Tuhan. Saya pernah menolak poligami, tapi Allah takdirkan saya berkahwin dengan keluarga suami yang mengamalkan poligami. Dari pengamatan saya, sangat banyak kelebihan dan manfaat poligami yang saya nampak dengan mata kepala saya sendiri. Ayah mentua ada 3 orang isteri, di mana arwah ibu adalah isteri pertama.
“Dipendekkan cerita, sepanjang 10 tahun berkahwin dan 5 tahun pertama duduk bersama keluarga mentua, secara tak langsung saya menyimpan cita-cita untuk mempunyai keluarga poligami yang harmoni.”
Nur Fathonah juga memuat naik status yang sama di Facebook.
“Ya Allah terima kasih Ya Allah. Untuk segala nikmat yang diberikan. Tak pernah saya sangka untuk hidup dalam keluarga yang berpoligami. Sesungguhnya tidak pernah terlintas pun dalam diri saya untuk berpoligami.
“Setelah saya berpisah dengan bekas suami, saya telah bertekad untuk tidak berkahwin lagi apatah lagi akan menerima suami orang. Sejak dari itu, kehidupan saya hanyalah untuk saya dan anak-anak saya sahaja. Saya bertungkus lumus siang dan malam demi untuk mencukupkan keperluan kehidupan. Walaupun begitu, di mata masyarakat, saya masih isteri orang dan saya sedaya upaya cuba menutup status sebenar saya sebagai ibu tunggal. Ini kerana, bagi saya, saya tidak mahu orang mengambil kesempatan dan saya dipandang rendah dan hina.”
“Alhamdulillah setelah beberapa kali saya memohon petunjuk dari Allah. Saya makin yakin bahawa Allah sememangnya datangkan mereka untuk saya dan anak-anak. Walaupun banyak rintangan yang kami hadapi saat mula-mula proses perkenalan dan sebelum persetujuan, namun sepanjang itu juga Allah sentiasa pegang hati-hati kami untuk bersama dan kuatkan hati kami. Akhirnya, saya terima lamaran kakak madu saya dengan hati terbuka.
“Allah membuka mata saya bahawa hidup berpoligami ini sangat indah sebenarnya. Semua kita dapat buat bersama, saling bantu membantu dan lengkap melengkapi, bersama memberi yang terbaik untuk suami, bersama menjaga solat berjemaah bersama, menjaga dan mendidik anak sama-sama, masak bersama, kemas rumah bersama dan banyak lagi manfaatnya.” katanya dalam coretan yang panjang.
Ketika ditanya mengenai reaksi suaminya apabila dia mahu mencari isteri kedua, Khuzatul Atiqah berkata, suaminya tidak banyak tanya dan sekadar melemparkan senyuman.
Ketiga-tiga pasangan terbabit menetap bersama di rumah di Shah Alam dengan membuka sebuah studio rakaman di Seksyen 15, Shah Alam.
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment