(Video) 'Mu sebut bini aku babi!' - Bapa saudara pelajar digantung sekolah, bawa geng serang guru


Sejak malam tadi, tular satu rakaman video yang memaparkan seorang guru telah diserang oleh dua orang lelaki di sebuah sekolah di daerah Bachok, Kelantan pada pagi hari Sabtu yang lalu.

Berdasarkan video yang berdurasi tiga minit 31 saat itu, salah seorang lelaki tersebut memarahi dan menyerang guru tersebut kerana dikatakan mengeluarkan kata-kata kurang enak kepada isterinya. Lelaki tersebut merupakan saudara kepada pelajar sekolah terbabit yang sudah dikenakan tindakan gantung sekolah. 

Lelaki itu juga mendakwa tidak mendapat surat berhubung perkara itu daripada pihak sekolah. Namun, guru itu memaklumkan sudah memberi surat berkenaan kepada pelajarnya.

Lelaki yang memakai baju berwarna hitam itu mengajak guru berkenaan menyelesaikan masalah mereka di luar sekolah. Namun guru itu enggan keluar dari pagar sekolah dan mahu menyelesaikan masalah tersebut di dalam sekolah. 

Menurut satu sumber, dua buah kereta sudah menunggu di luar pagar sekolah dan dipercayai bertujuan untuk memukul guru berkenaan.

Pejabat Pendidikan Daerah Bachok pula dalam kenyataan malam tadi berkata, insiden tersebut berlaku adalah kerana salah faham membabitkan anak saudara lelaki tersebut yang digantung sekolah.

Katanya, dua lelaki itu menyerbu sekolah dan mengasari Guru Penolong Kanan Pentadbiran (PKP) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gunung berusia 52 tahun.

“Sebelum itu, guru itu menghubungi ibu bapa pelajar supaya hadir ke sekolah bersama-sama pelajar untuk tandatangan akujanji namun hanya pelajar yang hadir.

“Berlaku salah faham apabila isteri penyerang yang juga bapa saudara pelajar yang digantung sekolah mendakwa guru ini menyerangnya dan mengeluarkan perkataan kurang enak.

“Mereka kemudian bertindak menyerang guru ini di sekolah, namun selepas diberi penjelasan, mereka faham dan meminta maaf,” katanya dalam satu kenyataan.

Difahamkan, pihak sekolah juga akan mengadakan sidang media pagi esok untuk memberi penjelasan lanjut berhubung kejadian itu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah ketika dihubungi berkata, kejadian itu masih dalam siasatan dan setakat 12 tengah malam tadi, pihaknya masih belum menerima laporan.



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.