(Video) 'Tunai permintaan anak' - kata si bapa yang kemudian dihadiahkan 2 keping surat saman


Viral di media sosial baru-baru ini video dua kanak-kanak lelaki bergayut di belakang kereta Toyota Vios yang sedang bergerak, mengundang kebimbangan orang ramai. 

Menurut sumber, kejadian itu berlaku di Taman Scientax, Seri Alam dan polis telah menerima laporan berhubung kejadian tersebut. 

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, pihaknya telah mengenal pasti pemandu dan kanak-kanak terbabit. Mereka telah diminta tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana perbuatan membahayakan nyawa dan keselamatan orang lain. 


Susulan video viral itu juga, pasukan Unit Siasatan dan Risikan (USR) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Johor telah bertemu dengan pemandu berkenaan di kediamannya. 

Hasil soal siasat mendapati, lelaki itu mengaku memandu kereta tersebut pada hari kejadian dengan membawa tiga orang kanak-kanak (dua situasi berbeza) duduk/bergayut di bonet belakang kenderaan. 

"Lelaki itu mengaku salah seorang daripada kanak-kanak itu merupakan anak beliau dan dua lagi merupakan anak jiran. 

"Pada waktu kejadian, lelaki itu mengakui tidak mematuhi isyarat lampu merah di jalan tersebut. 

"Dia juga mengaku berbuat demikian bagi memenuhi permintaan anaknya yang mahu melakukan demikian," kata JPJ melalui kenyataan yang dikeluarkan di Facebook rasminya tiga jam lalu. 


Ekoran itu, JPJ mengeluarkan dua saman terhadap pemandu terbabit iaitu, cuai semasa memandu dan gagal mematuhi isyarat lampu merah. 

"Kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku di dalam kalangan masyarakat. Pihak JPJ ingin menasihati dan mengingatkan mana-mana pemilik/pemandu kenderaan supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan. Diharapkan kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi," kata kenyataan itu. 



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.