'Dia banyak kali minta maaf' - Wanita mati dijerut penyamun menggunakan kabel pengecas handphone
Seorang wanita maut dibunuh oleh penjenayah yang menceroboh rumahnya pada jam 10.45 pagi Selasa di Felda Mengkuang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Kumaran Nyanasagaran berkata, suspek menceroboh mangsa melalui pintu belakang dan mangsa dipercayai dijerut di bilik tidurnya, dengan kabel pengecas telefon.
Suami mangsa berusia 60 tahun turut dicederakan di bahagian kepala sebelum suspek melarikan wang berjumlah RM6,000 dan beredar dari lokasi menggunakan kereta Honda City (DAD 9799) milik suami mangsa.
Mangsa, Siti Zuliana Said, disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala suaminya pengsan akibat dipukul suspek yang dikatakan melarikan diri ke arah Jempol, Negeri Sembilan.
"Kami percaya suspek melarikan diri menggunakan kenderaan milik suami mangsa. Polis sedang melakukan usaha mengesan suspek dan berharap orang ramai yang melihat kenderaan itu segera melaporkan ke balai polis berhampiran," katanya.
Sementara itu, jiran mangsa, Saaniah Naim, 56, berkata, mangsa banyak kali memohon maaf kepadanya ketika singgah membeli kuih dan nasi lemak di gerainya pada pagi sebelum kejadian itu berlaku.
Menurut Saaniah, mangsa singgah di gerainya selepas pulang dari masjid dan memaklumkan dia akan pergi menunaikan umrah pada Disember depan.
"Dia ada cakap, Ju minta maaf, minta ampun dari hujung rambut sampai hujung kaki. Ju nak pergi umrah nanti. Tolong maafkan Ju.
"Ralat juga rasa sebab tidak sampai tiga jam berjumpa dengan arwah, saya dimaklumkan dia sudah tiada," katanya.
Ketika kejadian itu berlaku, anak bongsu mangsa, Muhammad Khairi Ramadan Mohd Haris, 22, berehat di bilik selepas pulang dari masjid dan tidak menyedari kejadian yang menimpa ibu bapanya.
"Saya tidak perasan, mungkin penyamun sudah ada dalam rumah ketika itu. Mungkin dia tengok orang balik, itu yang dia menggelabah. Dalam rumah pun tak bersepah.
"Saya hanya sedar apabila ayah panggil saya dan memberitahu kepalanya sakit dan memaklumkan paip di bilik air bocor. Saya masuk bilik mak untuk mengambil peralatan membaiki paip dan nampak mak dalam keadaan terbaring. Saya panggil, tetapi tiada respon. Rupanya mak sudah tiada," katanya.
Muhammad Khairi berkata, rupa-rupanya ayahnya sakit kepala kerana diserang penyamun dan ketika itu ayahnya tidak mengetahui insiden yang menimpa ibunya.
Difahamkan, Mohd Haris Ibrahim, 60, berada di ruang tamu sebelum didatangi suspek yang memukulnya dari belakang dan mencekiknya sebelum dihentak menggunakan objek keras sehingga pengsan.
Sumber: Free Malaysia Today, Harian Metro
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment