KDN luluskan 12 permohonan warga Bangladesh untuk jadi warganegara Malaysia

Foto sekadar hiasan sahaja


Kementerian Dalam Negeri memaklumkan kepada Dewan Rakyat pada Selasa, 26 Julai 2022 bahawa pihaknya menerima 55 permohonan warganegara Bangladesh yang memohon kerakyatan Malaysia setakat Jun lalu dan hanya 12 daripada permohonan itu telah diluluskan. 


Permohonan itu dalam tempoh 12 tahun bermula 2010, yang mana setiap permohonan diluluskan mengikut Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan, iaitu permohonan kewarganegaraan melalui penaturalisasian membabitkan individu berusia 21 tahun ke atas.


"Berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), jumlah permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan yang telah dimohon oleh warga Bangladesh dari 2010 hingga 30 Jun 2022 adalah sebanyak 55 permohonan.


"Daripada jumlah itu, seramai 12 pemohon telah dianugerahkan dengan taraf kewarganegaraan Malaysia," menurut KDN dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang meminta perincian kriteria dan jumlah warganegara Bangladesh telah diberikan kerakyatan Malaysia antara 2010 hingga 2021.


Katanya, sebanyak tiga permohonan diluluskan pada 2010 serta tiga lagi permohonan diluluskan pada 2011, disusuli pada 2013 (satu), 2014 (dua), 2015 (dua) dan 2016 (satu).


Selepas 2016, tiada sebarang kelulusan permohonan kewarganegaraan Malaysia diluluskan kepada pemohon warga Bangladesh sehingga Jun lalu.


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.