Penunggang motosikal maut diseret kereta selepas keluar secara tiba-tiba dari bahu jalan
Seorang penunggang motosikal maut setelah terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 58, Jalan Jementah - Muar di sini, kira-kira pukul 2.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Segamat Supt Bahrin Mohd Noh berkata kejadian itu membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 dengan sebuah kereta Perodua Myvi dan gambar mangsa turut tular di media sosial.
Katanya, kemalangan itu berlaku ketika sebuah motosikal keluar secara tiba-tiba dari bahu jalan dan memasuki laluan kereta yang dari arah Jementah menuju ke Segamat.
"Disebabkan jarak yang terlalu dekat penunggang motosikal gagal mengawal kenderaannya dan melanggar bahagian tepi belakang kiri kereta yang kemudiannya terjatuh dan mangsa diseret oleh kereta terbabit.
"Penunggang motosikal berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Jementah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat Pegawai Bomba Kanan II Fuad Mohamad berkata sembilan anggota bersama jentera telah dikejarkan ke lokasi sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu.
Katanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan lelaki berusia 47 tahun itu yang tersepit di bahagian tayar belakang kereta.
Fuad berkata pemandu kereta Myvi itu iaitu seorang lelaki warga emas berusia 83 tahun didapati tidak mengalami barang kecederaan dan operasi berkenaan ditamatkan pada 2.57 petang.
Sumber: Bernama
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment