(Video) 'Allahuakbar! Saya tak tinggalkan awak Yang.. Sumpah saya tak tinggal awak..' - Lelaki meraung, isterinya terbakar dalam kereta
"Allah... Allahuakbar. Yang (sayang).. saya tak tinggalkan awak yang. Allahuakbar! Sumpah saya tak tinggal awak yang. Bini saya bang... bini saya dalam kereta," demikian jeritan seorang lelaki yang terbabit dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan, malam tadi.
Video kejadian itu juga tular di media sosial mengundang banyak reaksi netizen turut bersedih dan meluahkan rasa simpati terhadap nasib lelaki itu.
Menurut saksi, kejadian itu berlaku di kilometer 45 Lebuhraya Utara Selatan dari arah Selatan. Kemalangan yang berlaku berpunca dari tindakan seorang pemandu lori yang memandu melebihi had laju di lorong kiri.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Mohd Fauzi Md Nor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.47 malam dan terus mengerahkan 18 anggotanya dari BBP Renggam, BBP Kulai dan BBP Ayer Hitam ke lokasi.
Sebaik tiba, mereka mendapati kemalangan itu membabitkan empat kenderaan iaitu lori Isuzu, Proton Wira, Proton Preve dan Toyota Vios.
"Sebuah lori jenis Isuzu terbakar 70 peratus, manakala Proton Wira terbakar sebanyak 90 peratus akibat kemalangan.
"Penumpang (Nurul Nazihah Kamalul Arifin, 28) kereta Proton Wira tersepit dan ditemui rentung, manakala pemandunya berjaya menyelamatkan diri.
"Seorang lagi mangsa ditemui rentung dalam Toyota Vios. Dua mangsa yang menaiki lori Isuzu dikenali sebagai S. Suresh, 38, dan Mok You Jian, 22, selamat dan tidak mengalami kecederaan.
"Pemandu Proton Preve, Bunayami Yahya, 43, juga selamat," katanya.
Sementara itu, saksi kejadian, Mohd Ridhwan Othman berkata, sebelum kejadian itu berlaku, keadaan jalan sesak (bergerak perlahan) dan tiba-tiba datang sebuah lori dipandu laju di lorong kiri terus melanggar beberapa buah kenderaan.
"Pergerakan kenderaan perlahan ketika itu. Di lorong kiri, tentunya untuk pemanduan yang tidak laju. Tetapi tiba-tiba datang sebuah lori terus merempuh beberapa kenderaan lain.
"Kejadian sangat pantas, tak lama kemudian beberapa kenderaan terus terbakar dan api marak. Seorang lelaki menjerit memanggil isterinya dan memberitahu kami bahawa isterinya di dalam kereta yang terbakar.
"Kami hanya mampu menenangkan lelaki tersebut dan membawanya ke kawasan jauh sedikit demi keselamatannya," katanya.
Sumber: Harian Metro, Info Bencana Pahang dan Luar Pahang
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment