Curi 4 botol Nutella, penganggur dipenjara 3 bulan 14 hari selepas gagal bayar denda RM500


Mahkamah Majistret Ampang menjatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan 14 hari pada seorang penganggur yang gagal membayar denda atas kesalahan mencuri empat botol sapuan roti coklat 'Nutella' di pasar raya Tesco, tiga hari lalu, lapor Bernama. 

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Azmi Mohamed Eid, 32, selepas tertuduh mengaku bersalah mencuri empat botol Nutella bernilai RM111.96 di Tesco Ampang pada jam 2.50 petang, 20 Disember lalu. 

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama 14 hari bermula dari tarikh ditangkap pada 20 Disember lalu dan denda RM500 atas pertuduhan tersebut. Malangnya tertuduh gagal menjelaskan denda itu menyebabkan dia menerima hukuman penjara tambahan selama tiga bulan. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian hendaklah dipenjara dan boleh juga didenda atau sebat. 

Terdahulu ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia kini tidak bekerja selain perlu menyara keluarga. 

Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon hukuman berbentuk pengajaran sebagai teladan kepada tertuduh dan masyarakat mengambil kira kes curi di pasar raya yang semakin meningkat.

Sumber: Bernama


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.