'Dah tegur, tapi buat tak tahu' - Terkejut pasar raya jual produk import mengandungi daging babi dengan label mengelirukan


Viral di media sosial, seorang pengguna mendakwa sebuah pasar raya di Kuching, Sarawak, menjual produk import yang tidak mempunyai label dalam bahasa inggeris atau bahasa Malaysia diletakkan di rak makanan halal yang lain, didapati mengandungi kandungan tidak halal.

Produk yang diimport dari Belanda ini terus dijual meskipun telah ditegur oleh individu berkenaan agar dipindahkan ke rak makanan tidak halal kerana bimbang mengelirukan pengguna beragama Islam. 

"Minggu lalu saya pergi ke sebuah pasar raya di Jalan Astana untuk membeli sos pasta. Jadi ternampak barang import ini di rak. Mula-mula saya nampak produk ini macam bagus dan memudahkan kerja-kerja memasak kerana semua bahan-bahannya dah ada, cuma tinggal kita panaskan saja. 

"Nasib baik saya tak beli dulu kerana mahu menyemak bahan-bahan yang dinyatakan pada label produk tersebut. Malangnya tiada ditulis dalam bahasa inggeris atau bahasa Malaysia.  Yang ada hanyalah bahasa Belanda. 

"Jadi saya pun menggunakan enjin carian Google untuk mengetahui bahan-bahan yang terkandung di dalamnya. Ya Allah, alangkah terkejutnya apabila mengetahui bahan-bahan di dalam produk itu. Gehakt Varkensvlees, yang bermaksud daging babi cincang. 

"Terus saya pergi mendapatkan penyelia pasar raya itu untuk bertanyakan bahan-bahan dalam produk tersebut. Namun dia menjelaskan pihaknya belum meletakkan label yang telah diterjemah ke bahasa Malaysia pada produk tersebut. 




"Saya terus menunjukkan hasil terjemahan yang saya perolehi dan dia menegaskan dia tidak tahu menahu mengenai perkara itu. Saya nasihatkan dia untuk memindahkan produk-produk berkenaan ke rak bahagian makanan tidak halal kerana tidak mahu orang lain terbeli produk tersebut. Dan dia akur. 

"Minggu ini, saya datang sekali lagi dan ternampak produk yang sama masih berada di tempat yang sama, langsung tidak dipindahkan seperti yang dinasihatkan. Saya cuba mencari laman Facebook pasar raya berkenaan, tetapi tiada. Bukan berniat nak menganggu perniagaan mereka, tetapi berharap mereka mengambil maklum tentang perkara ini," tulis pengguna berkenaan di Facebook. 

Berdasarkan Garis Panduan Pelabelan Am Makanan, Bahagian IV Peraturan-Peraturan Makanan 1985 Perkara 2, bagi produk makanan yang diimport, hendaklah di dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris dan boleh termasuk terjemahannya dalam mana-mana bahasa lain. 


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.