Johor catat peningkatan 2,215 kes HFMD


Bilangan kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) di negeri ini menunjukkan pening­katan sebanyak 37 peratus.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal berkata, pening­katan itu menyaksikan dari 1,607 kes pada tahun lalu, kepada 2,215 kes pada tahun ini.

Menurutnya, bagaimanapun sehingga kini, tiada kematian yang dilaporkan akibat penyakit HFMD.

“Sehingga kini di negeri ini, sebanyak 320 kes melibatkan taska, tadika, tabika dan pra-sekolah iaitu 14.4 peratus. Sebanyak 32 premis dinasihati menutup premis bagi tujuan pembersihan dan memutuskan rangkaian jangkitan.

“Pendidikan kesihatan telah diberikan kepada pemilik atau penyelia pusat jagaan tentang kepentingan kebersihan diri dan kebersihan  premis dan disinfeksi,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sahruddin berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor juga  menggesa penyelia premis mengambil tindakan pencegahan dan kawalan.

Katanya, tindakan dimaksudkan adalah melakukan saringan kesihatan kepada kanak-kanak yang hadir ke taska, tadika, pra-sekolah.

“Pihak sekolah hendaklah tidak menerima pelajar yang tidak sihat hadir ke sekolah.

“Selain itu, isolasi sekiranya ada pelajar yang sakit bagi mencegah ia merebak supaya memak­lumkan kepada pihak kesi­hatan sekiranya ada pelajar yang tidak hadir ke sekolah kerana HFMD,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan kes meningkat, pen­didikan kesihatan berkaitan HFMD disebarkan kepada orang awam di mana terdapat virus penyakit itu iaitu EV 71 boleh mengakibatkan komplikasi iaitu dehidrasi, encephalitis (keradangan otak), kegagalan jantung, kegagalan sistem pernafasan dan kematian.  

Ujarnya, orang ramai turut dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko jangkitan kepada  anak-anak mereka di rumah.

“Tidak membawa anak yang tidak sihat ke tempat yang ramai orang seperti kompleks membeli belah dan taman mainan. Ini kerana penyakit seperti HFMD mudah menular di kalangan kanak-kanak.

“Jangan hantar anak ke pusat jagaan semasa tidak sihat. Pihak kerajaan telah menyediakan cuti kuarantin kepada penjaga bagi kes-kes penyakit berjangkit seperti HFMD bagi memastikan pencegahan rebakan penyakit dapat dielakkan.

“Di samping itu, amalkan amalan kebersihan diri yang baik dan tahap status kesihatan yang optimum di dalam penjagaan kanak-kanak,” katanya. - Sinar Harian


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.