'Saman individu buat tarian 'Kiki Challenge' - JPJ


Mana-mana individu yang melakukan tarian 'Keke Challenge', akan dikenakan tindakan saman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana perbuatan itu mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain, lapor Harian Metro.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, pihaknya akan melihat pada kerangka undang-undang yang ada untuk mengambil tindakan terhadap orang ramai terutamanya anak muda yang ghairah melakukan tarian tersebut di jalan raya.

"Perbuatan demikian sudah tentu tidak dibenarkan dan sekiranya didapati terdapat pelanggaran undang-undang termasuklah membahayakan pengguna jalan raya yang lain, kita akan mengambil tindakan.

"Malah, bukan kita sahaja, pihak polis trafik juga turut akan mengeluarkan saman kepada mereka yang melakukan aksi berkenaan sehingga melanggar undang-undang," katanya.

Terdahulu, viral klip-klip video tarian 'Keke Challenge' di media sosial yang dilakukan oleh artis tempatan sehingga menyebabkan ramai netizen yang teruja dan tertarik untuk melakukan perkara yang sama. 


Difahamkan, tarian itu dicetuskan oleh pelawak, Shiggy, yang melompat keluar dari kereta yang sedang bergerak dan menari mengikut alunan lagu "In My Feeling" yang dinyanyikan oleh penyanyi Amerika Syarikat, Drake.

Video 'Keke Challenge' Shiggy telah ditonton lebih lima juta kali dalam tempoh yang singkat sejak video itu dimuat naik. Beberapa selebriti lain seperti Will Smith dan Ciara turut meniru aksinya. 


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.