KKM sahkan bayi berusia 17 bulan maut kerana HFMD di Pulau Pinang


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan seorang bayi lelaki berusia 17 bulan meninggal dunia disebabkan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) pada 6 Jun lalu di Pulau Pinang, lapor Harian Metro.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, bayi lelaki itu dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Bayan Lepas selama tiga hari untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia. 

"Berdasarkan perbincangan bersama pakar perubatan mengesahkan kematian bayi berkenaan adalah disebabkan oleh jangkitan paru-paru akibat komplikasi virus EV71 yang menyebabkan penyakit HFMD.

"Ini menjadikan Pulau Pinang merekodkan kes pertama kematian membabitkan penyakit HFMD di negara ini," katanya.

Beliau berkata, sekumpulan pakar menjalani ujian makmal melalui sampel darah diambil terhadap bayi terbabit sebelum kematiannya.

“Sehingga kini, terdapat 39,174 kes membabitkan penyakit HFMD direkodkan di seluruh negara.

“Bagi Pulau Pinang pula, 2,894 kes direkodkan iaitu berlaku peningkatan sebanyak 116 peratus,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai langkah menangani penyakit itu giat dijalankan termasuk meminta guru membuat pemeriksaan di depan pintu masuk sekolah.

Katanya, selain itu pihaknya turut membekalkan bahan pencuci untuk membersihkan bilik darjah, alat mainan termasuk meminta kerjasama pihak pasar raya dan pusat beli-belah mencuci troli serta pusat mainan kanak-kanak.

Sabtu lalu, seorang kanak-kanak berusia dua tahun lima bulan dilaporkan meninggal dunia akibat HFMD di Sarawak.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan punca kematian kanak-kanak itu bukan disebabkan HFMD, tetapi akibat jangkitan paru-paru yang teruk (severe pneumonia).

BERITA BERKAITAN:


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.