'Alhamdulillah, mak ditemui dalam keadaan selamat' - Warga emas hilang ketika mencari daun kelapa sawit, berjaya ditemui pada hari keenam SAR
Wanita warga emas yang dilaporkan hilang 6 hari lalu selepas keluar mencari sisa daun kelapa sawit untuk membuat penyapu lidi di Kampung Parit Sayang, Rabu lalu, telah berjaya ditemui dalam keadaan selamat, hari ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mangsa, Painah Siwan, 79, ditemui oleh orang awam yang turut menyertai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 11.25 pagi tadi.
Ketika ditemui, mangsa berada dalam keadaan lemah berhampiran lopak air di kawasan kebun kelapa sawit, bersama dengan sepasang selipar dan lidi daun kelapa sawit.
Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat dengan ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Anaknya, Sadiah Mohari, 42, bersyukur ibunya berjaya ditemui semula dan berterima kasih kepada semua pihak yang sanggup turun padang membantu mereka sekeluarga mencari ibunya.
"Syukur Alhamdulillah, pagi ini kami menerima berita yang dinantikan selama enam hari dan yang paling penting emak ditemui dalam keadaan selamat," katanya.
Painah terdahulu dilaporkan hilang oleh anaknya selepas mangsa didapati tidak pulang ke rumah semasa mencari daun kelapa sawit untuk membuat penyapu lidi.
Sumber: Harian Metro
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment