Baru kenal seminggu, wanita dakwa dicabul polis selepas diajak pulang ke rumah



Seorang wanita yang bekerja sebagai kerani, berusia 23 tahun membuat laporan polis mendakwa dia telah dicabul oleh anggota polis yang baru sahaja dikenalinya melalui media sosial. 


Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, pengadu terdahulu bertemu dengan lelaki itu yang mengakui dirinya adalah anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar, pada jam 10.30 malam Jumaat lalu di sebuah bengkel. 


Lelaki itu kemudian meminta pengadu menaiki kereta dan pergi ke rumahnya di Taman Sentosa. Tiba di kediaman itu, pengadu masuk ke dalam rumah tersebut kira-kira 10 minit dan mula berasa tidak sedap hati sebelum meminta lelaki itu menghantarnya pulang. 


Bagaimanapun, lelaki itu enggan menghantarnya dan menarik pengadu lalu mencium mulut dan meraba payu daranya. Mangsa menghalang suspek dari terus mencabulnya dan memberi amaran akan menjerit jika dia terus berbuat demikian. 


Mangsa kemudian dihantar ke tempat kerjanya sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. 


Siasatan awal mendapati, mangsa yang masih bujang baru seminggu mengenali suspek. Mangsa berjumpa dengan suspek yang mengajaknya ke rumah untuk berjumpa dengan anak-anaknya. 


Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati, rumah tersebut berada dalam keadaan gelap dan tiada penghuni. Mangsa pula tidak dapat mengingati nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan suspek. 


Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan pemilik rumah atau penyewa termasuk dakwaan suspek mengatakan dirinya adalah pegawai polis IPD Kampar. Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan. 


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.