Buat perhimpunan haram 'Hidup Najib & Bossku', penganjur akan dipanggil polis



Anjur perhimpunan Hidup Najib dan Bossku tanpa permit, polis akan memanggil individu yang bertanggungjawab di sebalik penganjuran perhimpunan penyerahan memorandum oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Istana Negara semalam, lapor Free Malaysia Today. 


Ketua Polis Brickfields, Amihizam Abdul Shukor berkata, penganjur perhimpunan haram itu, Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara, tidak mengemukakan permohonan untuk berhimpun di depan Istana Negara pada jam 2 petang. 


Perhimpunan haram itu membabitkan 300 peserta yang lengkap berpakaian hitam, melaung 'Hidup Najib dan Bossku' dengan penuh bersemangat bagaikan tiada hari esok. 


Difahamkan, perhimpunan itu dilakukan bagi mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob campur tangan dan memohon pengampunan diraja terhadap Najib Razak, sehari selepas Ahli Parlimen Pekan itu dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. 


Wakil NGO terbabit turut mengugut mahu mengadakan perhimpunan yang lebih besar sekiranya tiada apa-apa tindakan yang diambil dalam masa seminggu berhubung tuntutan mereka itu. 


"...jika minggu ini tidak berlaku apa-apa pengampunan terhadap Datuk Seri Najib, minggu depan kami akan datang dengan lebih besar lagi," kata Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz. 


Ugutan Syed Mohammad Imran itu mengundang rasa kurang senang netizen. Malah bekas ketua polis negara, Musa Hassan, juga berpandangan, perkara itu sepatutnya dibincangkan oleh pihak berkaitan, bukannya mengikut kehendak orang ramai. 


"(Perkara itu) perlu dibawa ke Lembaga Pengampunan dahulu untuk dibincangkan selepas menjalani hukuman dalam tempoh tertentu dan di atas laporan yang dibuat oleh Penjara Malaysia. Bukan boleh sesuka hati mengikut kehendak orang ramai," katanya. 


Menjawab soalan netizen apakah ugutan Syed Mohammad Imran itu boleh dikenakan tindakan, Musa Hassan berkata, perbuatan itu adalah satu ugutan jenayah di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan. 



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.