Pencuri bawa lawyer tuntut pekerja kedai mohon maaf kerana viralkan video dirinya mencuri
Tular di media sosial video pekerja kedai serbaneka berjaya mencekup seorang wanita yang didapati mencuri coklat Cadbury dalam kejadian yang berlaku pada Sabtu, 13 Ogos 2022 di Tangerang Selatan, Indonesia.
Dalam video itu, pekerja Alfamart, Amelia, bertindak menahan Mariana dari terus keluar menuju ke kenderaannya jenis Mercedes Benz. Beberapa pekerja yang lain turut datang membantu dan merampas coklat Cadbury itu serta meminta Mariana membuat pembayaran terlebih dahulu.
"Kenapa puan tak jujur? Kenapa tak nak bayar dulu?" kata pekerja kedai serbaneka berkenaan.
Pada awalnya, Mariana bengang dituduh mencuri dan enggan membayar serta hanya mengembalikan coklat Cadbury tersebut. Tetapi selepas didesak oleh pekerja Alfamart, Mariana akur dan membuat pembayaran (denda) walaupun barang itu tidak dipulangkan kepadanya.
Bagaimanapun, video kejadian yang dirakam telah dimuat naik ke media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen.
KESAL VIDEO DIVIRALKAN, PENCURI TUNTUT PEKERJA MOHON MAAF
Kesal dengan apa yang berlaku, Mariana nekad membawa peguamnya, H. Amir datang semula ke premis itu untuk menuntut permohonan maaf secara terbuka dari Amelia yang telah menyebarkan videonya, atau berdepan dengan tindakan Undang-Undang dan Transaksi Elektronik (UU ITE - lebih kurang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia).
"Saya pekerja Alfamart ingin mengesahkan bahawa, video yang tersebar di media sosial itu hanyalah salah faham di antara kami, yang mana tindakan menularkannya telah menjejaskan imej Puan Mariana.
"Saya memohon maaf kepada Puan Mariana kerana telah menyebarkan video kejadian. Alhamdulillah, masalah yang timbul telah diselesaikan secara kekeluargaan," katanya.
Ini kelewatan. Orang yang ketahuan ngutil malah berbalik menekan karyawan alfamart hanya krn mampu menyewa pengacara.
— Zulfikar Akbar (@zoelfick) August 14, 2022
Alih-alih dia yang minta maaf, malah mbak alfamart yang harus minta maaf. pic.twitter.com/h7mwBDGBO1
Dengan permohonan maaf dari Amelia itu telah menyelesaikan kes tersebut. H, Amir menjelaskan, Mariana sebenarnya tidak sedar dia telah mengambil coklat Cadbury itu sehingga terlupa untuk membuat pembayaran kerana terlalu banyak berfikir.
"Klien saya pergi ke Alfamart untuk membeli sesuatu. Dia ketika itu sedang serabut memikirkan sesuatu dan secara tidak sedar telah mengambil coklat Cadbury itu yang dimasukkan ke dalam beg tangannya.
"Semasa hendak keluar dari kedai, Mariana didatangi pekerja Alfamart yang meminta agar dia membuat pembayaran terlebih dahulu sebelum beredar. Mariana masuk semula ke kedai untuk membuat pembayaran.
"Dia sudah membayar, tetapi coklat Cadbury yang dirampas tidak diberi kepadanya. Dia hanya membayar denda kira-kira 100,000 rupiah (RM30) sebelum pulang. Keesokan harinya, video itu viral di media sosial membuatkan Mariana terkejut lalu datang semula ke Alfamart untuk bertanya siapa yang menyebarkan video itu," katanya.
POLIS: MARIANA TURUT MENCURI 2 BOTOL SYAMPU
Sementara itu, Ketua Polis Tangerang Selatan, Sarly Sollu mengesahkan kejadian itu berlaku dan pihaknya sudah menerima laporan polis dari pihak Alfamart terhadap Mariana atas tuduhan mencuri dan mengugut mengambil tindakan undang-undang terhadap pekerjanya.
Siasatan awal polis pula mendapati, Mariana bukan hanya mengambil coklat Cadbury, malah turut mencuri dua botol syampu jenama Rejoice, berdasarkan semakan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
SYARIKAT ALFAMART PERTAHANKAN PEKERJA
Tidak berpuas hati dengan tindakan Mariana, Pengarah Hal Ehwal Korporat Alfamart, Solihin berkata, pihaknya akan membantu Amelia yang telah menjalankan tugas dengan baik dan menyiasat kejadian itu sebelum mengambil tindakan balas.
"Kami menolak tindakan intimidasi yang dilakukan (Mariana) terhadap pekerja Alfamart yang telah menjalankan tugas dengan baik. Alfamart akan melantik Peguam Hotman Paris (peguam tersohor di Indonesia) untuk menyelesaikan kes ini," katanya.
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment