'Dia bermula dengan modal kecil, kini dia mempunyai 114 cawangan Al-Ikhsan di seluruh negara' - Kisah inspirasi pengasas butik Al-Ikhsan


Apabila menyebut nama Al-Ikhsan, sudah pastinya terbayang kelengkapan peralatan sukan yang dicari-cari. Tetapi, pernahkah kita tahu siapakah insan di sebalik nama Al-Ikhsan ini. 

Tuan Haji Ali Hassan Mohd Hassan merupakan pengasas kepada Al-Ikhsan. Kejayaan beliau dikatakan bermula dengan modal kecil menjual barang-barang kecil-kecilan kepada rakan-rakan dan pensyarah beliau semasa menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor. Bagi menampung kos pengajian, beliau juga bekerja sambilan sebagai penghantar pizza.

Pada tahun 1993, dia memulakan perniagaanya di ruang sempit di Holiday Plaza Johor Bahru dengan menjual barangan sukan. Usahanya tidak ternokhtah di situ. Kejayaan demi kejayan yang dikecapi dan sehingga kini beliau telah memiliki sekitar 114 cawangan Al-ikhsan di seluruh negara. 

Kejayaan beliau juga dikongsi dan diperkatakan oleh ramai pihak. Sumbangan Tuan Haji Ali Hassan juga besar kepada masyarakat. Beliau telah menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat dan juga menjadi pembayar zakat terbesar di Malaysia, berjumlah sejuta ringgit.

DI KALA ramai orang menulis tentang Jack Ma dan meminjamkan kata-katanya di sini sana, ketika tokoh-tokoh usahawan barat terus dijadikan kiblat. 

Kali ini aku ingin ceritakan tentang salah seorang idola aku dalam dunia perniagaan. Beliau adalah Tuan Haji Ali Hassan pengasas Al-Ikhsan Sports.

Alhamdulillah aku sudah beberapa kali berpeluang bertemu dengan beliau. Cara beliau menguruskan perniagaan memberikan aku inspirasi.

Untuk makluman, jualan Al-Ikhsan adalah RM300 juta setahun. Mereka mempunyai 114 cawangan setakat ini. Kesemua cawangan mereka bukan francais. Ia dimiliki oleh Al-Ikhsan Sports sepenuhnya.

Al-Ikhsan mampu membuat jualan bagi produk Adidas dan Nike lebih banyak daripada jualan di butik-butik Adidas dan Nike yang ada di Malaysia. Disebabkan itu beliau mempunyai hak eksklusif untuk meminta produk dari Nike dan Adidas yang istimewa hanya untuk dijual di rangkaian butik Al-Ikhsan.

Ramai juga yang tidak tahu, selain dari rangkaian Al-Ikhsan. Tuan Haji Ali juga dipilih menjadi pengedar tunggal oleh beberapa jenama gergasi dari luar negara antaranya Asics, Canterbury, Lotto dan beberapa jenama besar lagi. Jika kalian melihat produk-produk ini di Malaysia ketahuilah semuanya dikawal oleh Tuan Haji Ali.


Yang membuatkan aku sangat teruja apabila setiap kali berjumpa, atau setiap kali beliau dijemput memberikan perkongsian tidak pernah lekang dari bibir beliau menyatakan bahawa semua orang Islam perlu jaga solat, baca Al Quran dan berbakti kepada ibu bapa. Itulah perniagaan yang pasti tidak akan rugi selama-lamanya.

Tuan Haji Ali meneruskan lagi legasinya apabila pada bulan Julai yang lalu telah termeterai urusan jualan saham Al-Ikhsan Sports sebanyak 35% dengan nilai RM68 juta yang dibeli oleh Ekuiti Nasional Berhad (EQUINAS).

Al-Ikhsan Sports dalam proses apungkan saham syarikatnya ke papan utama Bursa Malaysia dalam tempoh 3 tahun dari sekarang.

Sekarang, Tuan Haji Ali sedang melatih salah seorang anaknya untuk membuka kedai fizikal barangan sukan yang baru dengan jenama baru. Pada hemat aku, anak Tuan Haji Ali pasti akan lebih handal daripada beliau kerana dimentorkan oleh ayahnya sendiri yang telah terbukti berjaya.


Di sini aku perhatikan ada beberapa perkara yang boleh dijadikan pengajaran iaitu:

1. Dari awal, fokus utama kita hanya untuk menjadi hamba yang bertaqwa dan bersedaya upaya mengumpul pahala. 

2. Semua orang Islam sama ada belum berjaya di dunia ataupun telah mengecapi kejayaan dalam kerjaya, menjaga taqwa tetap menjadi fokus paling utama.

3. Menguruskan bisnes tanpa sistem francais dan perlesenan ternyata memberikan kawalan terhadapan keseluruhan syarikat. Ianya sangat membantu sesebuah syarikat berkembang dalam keadaan terkawal. 

4. Bisnes, wang, isteri, suami, anak-anak, dan segala jenis harta dunia tidak perlu diletakkan di dalam hati. Hanya Allah layak di dalam hati. Yang lain hanya di tangan. Bila-bila masa perlu lepaskan ia pergi. Di dalam hati hanya Allah kekal selamanya.

5. Ibu bapa perlu menjadi mentor dan jurulatih yang terbaik untuk anak-anaknya, yang akan mengajarkan segala selok belok kehidupan dunia semata-mata demi menuju jalan yang lurus. 

Sekian.

Kagum dengan orang-orang yang bertaqwa.

Sumber: Wikipedia, Azri Walter, Muhammad Norsyahidin Abu Hassan


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.