'Sebak lihat kehidupan keluarga dia yang daif' - Isteri Mark Adam nekad bantu keluarga mentuanya keluar dari kemiskinan
Setiap tutur katanya menjadi perhatian dan penonton pasti terhibur dengan ayat Bahasa Melayu yang keluar dari mulutnya. Mark Adam, artis yang dikenali sebagai seorang yang serba boleh. Dia adalah penyanyi, pelakon, dan juga pelawak kelahiran Filipina yang mewarnai industri hiburan Malaysia.
Di sebalik nama Mark Adam, sudah pasti ada seseorang yang sentiasa menyokongnya dari belakang. Isterinya, Norazah Redzuan merupakan tulang belakang kejayaan Mark Adam selama ini. Norazah bukan sahaja telah telah membantu Mark Adam berjaya, malahan Norazah juga telah meringankan beban keluarga Mark Adam terutamanya ibu mertuanya sendiri.
Perkahwinan mereka tidak menjadi penghalang kepada hubungan keakraban antara Norazah dan ibu mertuanya walaupun berbeza agama dan budaya.
“Mula-mula kahwin dengan Mark, kekok jugalah nak berbual dengan ibu mertua yang tak fasih berbahasa Inggeris. Nasib baiklah saya boleh bertutur dalam bahasa mereka. Itu yang kami mudah mesra,” kata Norazah kepada majalah Nona.
“Kalau balik ke Filipina, layanan yang diberikan ibu mertua sangat baik. Saya dimanjakan seperti anaknya sendiri. Pagi-pagi ibu mertua dah siapkan sarapan termasuk membasuh pakaian saya walau saya tak pernah minta pun. Semuanya dia buat sendiri.
“Masakan mak mertua yang paling saya suka ialah udang masak bawang putih. Seterusnya chicken adubo, kalau di sini kita panggil ayam masak kicap. Ada juga menu singgang, rasa dan cara masaknya lebih kurang sama macam kita. Lagi satu, terung yang dibakar atas api kemudian disiat kulitnya. Isi terung dicelup ke dalam telur lalu digoreng. Nampak simple tapi rasanya sangat sedap!”
REZEKI DIKONGSI BERSAMA
Rezeki yang dimiliki mereka tidak hanya dihabiskan untuk mereka berdua, tetapi Norazah atau lebih dikenali sebagai Ezan berkongsikan bersama keluarga mertua. Dia telah banyak membantu keluarga Mark keluar dari belenggu kemiskinan.
Satu dalam seribu, itulah keistimewaan yang dimiliki oleh Ezan. Dia bukan saja sanggup melalui saat susah senang bersama Mark malah turut memuliakan ibu dan keluarga mertuanya sama seperti keluarga sendiri.
“Sebab utama saya nak sangat bantu keluarga Mark ialah dari diri saya sendiri. Waktu pertama kali ke Filipina saya lihat kehidupan keluarga Mark sangat daif. Ahli keluarganya ramai, rumah pula sempit. Makan nasi hanya berlaukkan ikan masin.
“Seumur hidup mereka tak pernah merasa tidur di katil, hanya beralaskan tilam nipis. Saya rasa sangat sebak dan terfikir kenapa macam tu sekali keadaannya. Ia buat saya insaf. Bermula saat tu saya niat untuk bantu keluarga Mark.
“Saya dan Mark mencari rumah lain yang lebih besar dan selesa buat keluarganya. Walaupun cuma rumah sewa tapi selesa. Saya belikan katil, sofa, barang makanan dan sebagainya. Pun begitu, mereka tak pernah merungut. Sebaliknya tetap gembira dan bahagia seperti tiada masalah.
“Saya tahu Mark bekerja keras selama ini pun kerana mahu mengubah nasib keluarga agar menjadi lebih baik seperti mana hasrat bapanya sebelum meninggal dunia,” katanya.
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment