'Pelantikannya tidak mematuhi Surat Kelulusan Perjawatan SPAD' - Kementerian Pengangkutan jawab dakwaan bekas staff SPAD


Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), menerusi kenyataan media menjelaskan isu yang berkaitan dengan dua orang bekas kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang mendakwa telah menjadi mangsa penganiayaan ekoran ditawarkan gred jawatan yang lebih rendah dan tidak setimpal dengan jawatan dan kelayakan.

“MOT ingin menjelaskan bahawa penawaran jawatan tersebut adalah inisiatif Kerajaan untuk membantu bekas kakitangan SPAD mendapatkan pekerjaan. Penawaran tersebut adalah berdasarkan kepada kekosongan jawatan yang terdapat di MOT.

Tawaran penjawatan ini bersifat migrasi dan tidak semestinya setara dengan jawatan yang sebelumnya.

Umumnya adalah menjadi satu prosedur dan peraturan kerajaan bagi membuat pengambilan ke dalam perkhidmatan awam berdasarkan kelulusan yang telah ditetapkan mengikut skim perkhidmatan pada masa pengambilan tersebut dibuat.

Bagaimanapun, sekiranya seseorang pegawai selepas pelantikannya, mendapat kelulusan yang lebih tinggi, pegawai tersebut boleh membuat permohonan baharu dalam skim perkhidmatan yang bersesuaian dengan kelulusan tersebut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan Rabu lalu, 24 April 2019.

Menjelaskan kedudukan Mohd. Aizat, Kementeriann Pengangkutan berkata, bekas pekerja itu bekerja di anak syarikat SPAD iaitu SPAD Pro dan kemudiannya ditempatkan di SPAD bagi menjalankan tugas eksekutif pelesenan dan jawatan terakhir sebagai Eksekutif Keselamatan ICOP.

Pelantikan oleh sebuah anak syarikat, iaitu SPAD Pro itu tidak mematuhi Surat Kelulusan Perjawatan (SKP) yang diluluskan untuk SPAD dan ia menjadi titik punca kepada kecelaruan perjawatan di SPAD seterusnya memberi kesan apabila kerajaan mahu menawarkan jawatan baharu bekas kakitangan SPAD.

Kecelaruan ini hanya ditemui selepas penelitian dibuat terhadap dokumen-dokumen pelantikan SPAD Pro bagi tujuan pengurusan personel bagi maksud pembubaran SPAD.

Walaubagaimanapun, kerajaan tetap berusaha membantu bekas pekerja SPAD Pro termasuk Mohd Aizat namun bilangan perjawatan yang boleh ditawarkan adalah terhad berbanding bilangan calon yang layak dipertimbangkan.

Akan berlaku situasi di mana calon yang berkelayakan ijazah tidak dapat ditawarkan ke jawatan yang bersesuaian dengan kelayakan tersebut berikutan bilangan jawatan terhad dan penentuan pengisian dibuat secara rawak.

Justeru, padanan terbaik, dengan mengambil kira kekosongan jawatan dan kelayakan Mohd. Aizat ialah sebagaimana tawaran yang telah dikemukakan kepada beliau iaitu Pembantu Tadbir (Kewangan) Gred W19.

Tawaran ini juga mengambil kira latar belakang perakaunan yang dimiliki beliau,” kata kementerian itu sambil berkata penempatan ke LPKP Sarawak tidak wajar dijadikan isu memandangkan agensi itu kini diletakkan di bawah MOT.

MENGANGGUR

Manakala bagi kes  kedua, Salehuddin Saad, kementerian itu menafikan dia sudah tujuh bulan menganggur kerana SPAD dibubarkan pada 1 Januari tahun ini dan beliau telah menerima pampasan sebanyak RM5,136 yang dibayar pada 31 Disember lalu.

Kementerian Pengangkutan berkata, kerajaan juga telah bersetuju untuk memberikan pampasan untuk tiga bulan gaji kepada bekas kakitangan SPAD walaupun mereka berkhidmat kurang daripada tiga tahun.

Sekiranya beliau masih kekal dengan dakwaan menganggur selama 7 bulan, dibimbangi beliau telah hilang kelayakan untuk menerima pampasan di mana salah satu syarat kelayakan pampasan adalah perlu berkhidmat sehingga 31 Disember 2018,” ujar kenyataan itu.

Bahkan, katanya, Salehuddin telah ditawarkan sebagai Pembantu Tadbir Operasi Gred N19 dengan gaji yang lebih besar berbanding jawatan sebelum ini, selain turut menikmati Bantuan Sara Hidup, Insentif Tetap Khidmat Awam dan Insentif Tetap Perumahan.

Kementerian itu menambah, pemansuhan SPAD adalah langkah penstrukturan semula disebabkan oleh pertindihan fungsi dan peranannya dengan MOT dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sehingga kini, seramai 786 (81.8%) bekas kakitangan SPAD telah ditawarkan pekerjaan ke pelbagai Bahagian, Jabatan, Agensi dan GLC di bawah MOT.

Selain itu, 16 (1.7%) bekas kakitangan masih dalam pertimbangan SPA untuk kelulusan pelantikan manakala 31 (3.2%) bekas kakitangan lagi tidak memenuhi syarat asas termasuk melebihi had umur pelantikan. Baki seramai 128 (13.3%) bekas kakitangan masih dalam proses padanan kerja di bawah program padanan kerja dengan kerjasama Agensi JobsMalaysia. 







Sumber:  Malaysia Gazette, Kementerian Pengangkutan Malaysia

LAPORAN BERKAITAN:


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.