'Saya dibelasah suami, perut dipijak sampai bocor ketuban,' - Isteri terkilan suami berubah jadi kejam selepas kenal janda pilihan
Semenjak kes seorang ilmuan agama menjandakan isterinya demi bersama dengan janda pilihan, ramai wanita yang tampil berkongsikan pengalaman rumah tangga masing-masing yang mendakwa dianiaya oleh suami yang tidak bertanggungjawab.
Berkongsikan pengalamannya di Facebook Ustaz Ebit Lew, wanita itu mendakwa lelaki yang pernah menjadi suaminya itu pernah memijak perutnya semata-mata mahu kandungan itu gugur selepas termakan helah si janda durjana.
Pernah meminta untuk mempertimbangkan semula keputusan itu, namun suami lebih mementingkan nafsu dirinya berbanding isteri yang sarat mengandung. Tergamak si suami menganiaya isteri dan zuriatnya.
SAYA pernah lalui dah ustaz. Baby nak masuk usia dua bulan dalam perut. Saya dipaksa redha untuk poligami. Saya rayu minta nikah selepas saya habis berpantang sebab saya takut tidak dapat kawal emosi.
Saya cuba untuk redha, tetapi air mata 24 jam mengalir tanpa henti. Ditambah pula desakan dari si janda. Sedih tak boleh nak kawal.
Saya cuba slow talk dengan si janda. Tetapi dia mengadu dengan suami dan kata saya marah dia sedangkan itu semua dusta belaka.
Saya dibelasah suami sampai bocor ketuban. Sakit badan saya dipukul, ditolak sampai tersandar ke dinding, ditarik rambut, kepala dihantuk ke lantai yang kemudian dihentak pula dengan beg baju besar di atas kepala. Tidak cukup dengan itu, dia tarik saya dan pijak perut saya supaya baby gugur katanya.
Ya Allah, saya sakit sangat diperlakukan seperti itu, hanya Allah saja yang tahu. Sampai lembik dan tak bermaya saya dikerjakannya.
Allah Maha Kuasa, baby saya dah berusia lima tahun membesar dengan baik.
Saya selalu berdoa semoga ada balasan untuk mereka berdua yang telah menganiaya saya dan kandungan saya. Saya tidak mampu nak memaafkan mereka di dunia dan akhirat.
Saya sedar saya tidak sempurna tetapi belum pernah saya menyeksa jiwa dan raga insan lain. Bila saya sedih, saya pujuk hati saya dan berkata, "Sabarlah wahai roh dan jasad, ada lagi yang lebih bernasib malang dari kau".
Akhirnya sedikit demi sedikit, hari demi hari, tahun berganti tahun, saya mampu menghapuskan air mata.
Kepada yang mengalami nasib seperti saya, bangkitlah wahai ibu. Sapu air matamu. Jangan dikenang masa nan lalu yang penuh dengan kedukaan. Carilah kebahagiaan walau seorang diri Allah tetap bersama.
Kini baru saya sedar cinta abadi kekal untuk Dia, Sang Pemilik Cinta. Allahu huu Allah.
Sumber: Facebook
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment