KBS sedang berusaha bawa masuk BTS ke Malaysia bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020


Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang dalam usaha untuk membawa masuk kumpulan K-Pop terkenal iaitu BTS ke Malaysia untuk membuat persembahan bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2020

Difahamkan, usaha itu turut dilakukan dengan kerjasama dari Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia, Tan Sri Tony Fernandes yang terdahulu mengeluarkan kenyataan di Twitter rasminya memaklumkan beliau sedang bekerja keras untuk merealisasikan impian BTS Army. 

"Saya telah berjumpa dengan promoter yang berkaitan dengan BTS dan kita sudah di peringkat perbincangan. 

"Usaha kami adalah untuk memastikan BTS datang pada tahun 2020, Tahun Melawat Malaysia," katanya memetik laporan dari Sinar Harian. 

Jelas Syed Saddiq, usaha itu juga dilihat sebagai satu pelaburan yang akan menguntungkan negara.

"Industri hiburan Malaysia telah mencatatkan keuntungan kira-kira AS$D4 bilion selain menarik lebih 250,000 pengunjung ketika penganjuran MotoGP, baru-baru ini.

“Contoh lain adalah konsert hiburan terbesar Ed Sheeran di mana berjaya menarik 45,000 pengunjung dan dalam tempoh tiga hari tiket habis dijual. Kejayaan ini telah menarik minat penganjur-penganjur lain,” katanya.

Sementara itu, Balai Seni Lukis Negara pula bercadang mengadakan pameran lukisan bertemakan kartun Doraemon bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020

Pengerusinya, Datuk Rashidi Hasbullah berkata, pameran lukisan itu secara tidak langsung akan dapat mempromosikan Malaysia di mata dunia kerana Doraemon mempunyai ramai peminat di seluruh negara dan secara tidak langsung menjadi daya penarik pelancong luar datang ke negara ini

Namun begitu, cadangan itu tidak digemari oleh Persatuan Animasi Malaysia kerana kerajaan sepatutnya menampilkan watak animasi tempatan bagi mempromosi acara tersebut dan langkah itu menunjukkan kerajaan menghargai dan meraikan karyawan animasi tempatan berbanding Doraemon yang jelas sekali bukan lahir di negara ini. 

Presidennya, Ameir Hamzah Hashim berkata, Malaysia tidak kurang hebatnya dengan watak animasi yang sedia ada antaranya seperti Lat Kampung Boy, Upin dan Ipin, Boboiboy dan lain-lain yang masih mendapat tempat di hati penonton. 

Perkara itu turut mendapat perhatian syarikat Les' Copaque Production Sdn Bhd yang menyindir cadangan itu melalui Facebooknya. 

"Benda boleh pakai animasi luar untuk promosi Malaysia, buat apa pakai animasi Malaysia sendiri?" tulis laman itu. 



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.