Alif hidap penyakit jantung berlubang sejak usia 26 hari, perlukan dana RM30,000


Seorang bayi lelaki berusia 8 bulan menghidap penyakit jantung berlubang memerlukan dana RM30,000 untuk menjalani pembedahan yang dijadualkan pada Julai ini.

Muhammad Alif Luthfi Noraznan, menghidap penyakit itu semejak dia berusia 26 hari. Ibunya, Liza Martini Tahir, 40, berkata, doktor menyarankan agar anaknya dibedah segera kerana sudah dua kali paru-parunya dijangkiti kuman. 

Liza berharap, pembedahan itu boleh dilakukan sebelum raya, namun atas sebab kekangan kewangan, mereka meminta pihak hospital menangguhnya sehingga Julai ini. 

"Saya harap ada pihak yang tampil membantu atau mungkin pembedahan Julai ini terpaksa ditangguhkan jika kos pembedahan masih tidak cukup," katanya. 

Menurut Liza, Alif dikesan menghidap penyakit itu ketika menerima rawatan di Hospital Segamat selama 18 hari selepas mengalami selesema dan batuk, serta tidak mahu menyusu. Ketika itu, tangan, kaki dan mukanya turut kebiruan disebabkan jangkitan pada bahagian paru-paru. Bagaimanapun keadaannya pulih selepas doktor memasukkan darah. 

"Masa tu doktor sarankan saya ke hospital pakar jantung untuk rawatan susulan. Cuma baru-baru ini doktor sarankan jantung dibedah selepas sekali lagi terkena jangkitan virus sehingga ditahan di Hospital Ampang," katanya. 

Difahamkan, Alif merupakan anak pertama mereka selepas lapan tahun berkahwin. Alif dilahirkan sihat dan tidak mengalami sebarang masalah ketika dalam kandungan. Liza tidak menolak kemungkinan anaknya terdedah kepada jangkitan kerana pengudaran dan ketika diziarahi semasa baru lahir. 

"Apa yang saya harapkan dia sihat seperti sedia kala selepas menjalani pembedahan dengan tidak lagi perlu bergantung kepada ubat-ubatan dan membesar seperti kanak-kanak normal yang lain," katanya.

Dana pembedahan Alif boleh disumbangkan melalui akaun bank Standard Chartered 897194808775 atau Maybank 1-626-740-96959 di bawah nama Liza Martini Tahir.

Sumber: Sinar Harian


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.