'Ghost Train', jam 4.20 pagi muncul membelah kabus pagi yang tebal
Seperti di Kuala Gris, Kelantan kereta api menjadi pengangkutan orang ramai, terutamanya pelajar sekolah. Ketika pelajar-pelajar lain masih enak dibuai mimpi, para pelajar ini sudah terpacak di stesen keretapi untuk menuju ke sekolah. Dikatakan suatu ketika dulu, pada jam 6.00 pagi kereta api sudah tiba di Kuala Gris.
MENGAPA “Ghost Train”? Ianya hanyalah sekadar gelaran yang saya rasa sesuai untuk keadaan semasa saya merakam gambar ini. Kereta api Kelantan Shuttle yang berlepas dari Stesen Kereta Api Tumpat pada jam 4:20 pagi yang muncul di balik kabus tebal pagi di Kuala Gris ini seolah-olah seperti kereta api hantu, tiba-tiba muncul sahaja membelah kabus pagi yang tebal.
Cuma satu ketika dahulu kereta api shuttle ini tiba di Kuala Gris lebih awal lagi daripada waktu sekarang. Dahulu kereta api shuttle bergerak seawal jam 3:00 pagi dari Tumpat dan tiba di Kuala Gris sekitar jam 6:00 pagi, masih gelap lagi.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jadualnya sudah berubah dan kereta api ini tiba di Kuala Gris sekitar jam 7:10 pagi atau 7:15 pagi dari Tumpat.
Saya ke Kuala Gris kerana ingin merasa pengalaman menaiki kereta api awal pagi ini bersama pelajar-pelajar sekolah ini. Saya boleh tunggu sahaja mereka tiba di Stesen Keretapi Dabong sekitar jam 7:30 pagi tetapi saya memilih untuk bersama mereka di Kuala Gris.
Keadaan masih gelap dan sunyi, cuma selang beberapa minit selepas itu barulah kelihatan kelibat seorang demi seorang pelajar sekolah tiba yang mana boleh dikatakan rata-rata dari mereka tiba dengan berjalan kaki, hanya ada 2-3 orang sahaja pelajar yang dihantar oleh keluarga mereka sama ada ibu atau ayah mereka dengan menggunakan motosikal.
Kesemua pelajar yang menaiki kereta api ini adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dabong, kerana di Kuala Geris hanya ada sekolah rendah sahaja. Selain itu, kereta api ini juga membawa pelajar-pelajar dari Stesen Ulu Temiang, Slow Pak Long dan juga Bukit Abu.
Kepada yang bertanya, apakah tiada jalan darat untuk ke Sekolah Menegah Kebangsaan Dabong? Jawapannya memang ada tetapi agak jauh dan gelap sunyi terutamanya awal pagi.
Lebih mudah lagi untuk pelajar-pelajar ini menaiki kereta api ini untuk ke sekolah yang mana ibu bapa tidak perlu berulang alik sejauh lebih 15 kilometer dari Kuala Gris ke Dabong semata-mata untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah dan menjemput pula mereka sebelah petangnya.
Sekadar maklumat, untuk jarak perjalanan sekitar 1 kilometer dengan masa perjalanan lebih kurang 20 minit, tambang yang dikenakan hanyalah RM1 sahaja sehala dari Kuala Gris ke Dabong. Untuk perjalanan dari Wakaf Bharu ke Kuala Gris yang memakan masa selama 3 jam, tambang yang dikenakan hanyalah RM5 sahaja.
"KENANGAN TERINDAH"
Sumber: Mat Hassan, Wazari Wazir
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment