Suspek kes bunuh Ketua Jururawat berdepan dengan hukuman mati
Suspek utama kes bunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Khairina Mohamad Kamarudin, 40, yang ditemui mati pada 15 Mei lalu di sebuah kondominium yang disewanya di Cyberjaya, berdepan dengan hukuman mati.
Alowonle Oluwajuwon Gilbert, 36, didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret A Akhiruddin Acho, Alowonle hanya menundukkan kepala.
Alowonle terdahulu tiba di perkarangan mahkamah pada jam 9.50 pagi, menaiki van diiringi dua buah kereta peronda polis.
Dua warga asing iaitu wanita warga Nigeria dan lelaki warga Pakistan yang turut ditahan sebelum ini, dibebaskan dengan jaminan mahkamah dan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Alowonle didakwa membunuh mangsa antara jam 12.41 tengah malam pada 9 Mei hingga 2.30 petang pada 15 Mei lalu.
Mayat mangsa ditemui dengan kesan eklar di dada, leher dan kepala.
Mahkamah menetapkan 31 Julai ini untuk sebutan semula kes untuk mendapatkan laporan bedah siasat, forensik rakaman litar tertutup (CCTV), laporan data telefon bimbit dan laporan kimia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Nasharina Mazlan, manakala tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam.
Tiada pengakuan dan kenyataan tertuduh direkodkan kerana kes tersebut adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Sumber: Free Malaysia Today, Harian Metro
LAPORAN BERKAITAN
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment