Suspek kes langgar Syed Muhammad Danial akan didakwa esok (302)


Seorang lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes kematian Syed Muhammad Danial Syed Shakir pada 10 Ogos lepas akan didakwa di Mahkamah Kajang, esok.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Ab Rashid Ab Wahab berkata individu berumur awal 40-an berkenaan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian tersebut, Syed Muhammad Danial, 29, dilaporkan maut akibat dilanggar kenderaan yang sebelum itu terlibat dalam kemalangan kecil dengan keretanya, berhampiran Plaza Tol Sungai Besi dengan kedua-dua kenderaan berhenti dekat persimpangan Bandar Baru Bangi, selepas kejadian kejar-mengejar antara satu sama lain.

Sebelum kejadian berkenaan, kedua-dua pemandu itu dikatakan terlibat dalam pergaduhan dan dileraikan pengguna lebuh raya lain, sebelum mangsa yang keluar semula daripada kenderaannya dilanggar, dan tersepit antara kenderaan dengan penghadang jalan.

Susulan itu, polis menahan reman sepasang suami isteri bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua mereka direman tujuh hari sehingga Sabtu lepas namun hanya suspek lelaki disambung reman berakhir hari ini dan suspek wanita dibebaskan dengan jaminan polis.

Pada Isnin lepas, kertas siasatan berhubung kes itu telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Sumber: Bernama


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.