Yew Wei Ling dituduh membunuh Syed Muhammad Danial, berdepan dengan hukuman mati mandatori


Yew Wei Ling, 41, didakwa di Mahkamah Majistret Kajang hari ini. atas tuduhan membunuh Syed Muhammad Danial Syed Syakir di KM 293.6 Lebuhraya Utara-Selatan 10 Ogos lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan yang diambil dari tertuduh ketika pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Nor Afidah Idris berikutan kes bunuh adalah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. 

Yew yang kelihatan tenang mengangguk faham di dalam kandang tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan, Yew didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Syed Muhammad Danial, 29, dan kes didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori. 

Terdahulu, Peguam S Selvam yang mewakili tertuduh memaklumkan bapa keluarga lelaki itu menerima panggilan telefon daripada isteri Yew selepas insiden terbabit.

“Bagaimana keluarga boleh menerima panggilan telefon daripada nombor isteri anak guam, sedangkan telefon bimbit itu berada dalam pegangan polis.

“Selain itu, anak guamnya juga memaklumkan dia mengalami kecederaan akibat penderaan yang kemudiannya dibawa ke Hospital Kajang pada 13 Ogos lalu," katanya.

Selvam berkata, sepanjang tempoh reman, anak guamnya dipaksa oleh polis untuk membuat pengakuan atas kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sedangkan tertuduh mendakwa insiden itu hanyalah kemalangan jalan raya.

Justeru, Selvam memohon mahkamah supaya menetapkan tarikh bagi mendengar aduan berhubung perkara.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 27 September depan sebagai sebutan semula kes bagi menyerahkan laporan termasuk isu yang timbul.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan Zakaria.

Sumber: Harian Metro


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.