'Mama, ada 'benda' lalu di belakang rumah' - kata adik menggigil dan tiba-tiba bertukar garau


Assalamualaikum admin, maaf kalau perkongsian aku ini membosankan. Nak kata seram, tak sangat kot? Kalau tak best, maaf ye. Cuma nak berkongsi sahaja. Harap-harap boleh ambil langkah berhati-hati kalau berada di kenduri kahwin lebih-lebih lagi kalau buat kenduri di rumah. 

Kisah ini berlaku kira-kira tujuh atau lapan tahun lalu. Waktu majlis persandingan adik perempuan aku. Meriah sungguhlah kiranya. Ahli keluarga sebelah mak dan ayah aku datang. Since ayah aku Cina, mak Melayu, kira besarlah juga kan? Tetapi majlis diadakan di depan rumah sahaja. 

Aku tiga beradik, aku yang sulung. Yang kahwin ini adalah adik yang kedua. Maka aku dengan adik bongsulah yang menjadi runner ke sini sana. 

Majlis nikah pada malam itu berjalan dengan lancar. Alhamdulillah. Keesokannya majlis bersanding. Selepas selesai saja sesi bersanding, ambil-ambil gambar, letak hantaran apa bagai, maka pengantin pun keluarlah dari rumah. Salam-salam dan kenalkan pengantin lelaki kepada tetamu dan keluarga kami serta potong kek apa bagi. Mak dan ayah pun sibuk melayan tetamu. 

Dalam kesibukan melayan tetamu, mak aku ternampak nenek aku duduk termenung di tepi tangga. Tidak, bukan kerana dia kena strok ataupun nyanyuk.

"Kenapa mak duduk termenung di sini?" tanya mak. 

"Orang tu suruh mak jaga kat sini (tepi tangga tu)," jawab nenek. 

Pelik mendengar jawapan nenek, mak aku terus teringat pada barangan hantaran. Yang ada barangan kemas (aku pun pelik, kenapa tak pakai terus pada pengantin), duit hantaran yang letak di album, tinggal album saja. 

"Orang itu kata dia nak jagakan. Dia suruh mak jaga tangga," kata nenek. 

Sambil mencari itu, terperasan juga yang barangan kemas di rumah juga hilang. Termasuklah duit yang aku simpan di dalam almari dan dalam lipatan baju. Nenek aku describe orang itu sebagai wanita berbaju merah yang ada membawa budak kecil. 

Semasa membuat laporan polis, ini adalah kes keempat yang sama berlaku pada bulan itu. Maksudnya, suspek memang menyasarkan keluarga yang membuat kenduri kahwin. 

Selesai membuat laporan, makcik-makcik aku cadang untuk buat solat hajat terus. Panggil orang masjid selepas maghrib, mintalah agar tiada apa-apa perkara buruk yang berlaku. Manalah tahu, kuasa Allah, bolehlah orang itu pulangkan semula barang-barang kemas kami. 

Selesai solat hajat, bila semua orang dah balik, adik bongsu lelaki aku ke dapur. Tiba-tiba dia nampak kelibat melintas di belakang rumah. 

"Mama, Akim nampak ada benda lalu di belakang rumah," katanya sambil menggigil lalu suaranya bertukar kepada sedikit garau. 

"Mama, mama pergi jauh sikit. Akim rasa macam nak sepak mamak ni!" gedebuk! Dia jatuh ke lantai.

Adik aku berbadan agak besar dan gempal, jadi bila dia terjatuh memang kuatlah bunyi. 

Aku, ayah dan ipar aku cuba pegang dia sebab dia secara tiba-tiba nak menyerang mak aku. Dalam keadaan menangis, tiba-tiba dia tergelak. Dia mencaci mak aku. 

"Puih!! Aku benci kau! Puih!!" Apsal kau tak mampos!? Puii!!" katanya dengan mata terbeliak dan kemerahan. 

Aku panggil jiran-jiran dan saudara aku yang masih berada di luar rumah. Dekat lapan orang juga yang pegang adik aku itu. Macam nak terpelanting juga kami dibuatnya. Mak call dan beritahu pakcik aku, dia kata patutlah makcik aku di tepi highway suruh berhenti dan azan. 

Kitorang panggil ustaz datang untuk membantu, ada benda lain yang masuk dalam badan adik aku itu. Ustaz tanya, apa salah mak aku dengan dia. Dia kata ada tuan dia tak puas hati. Kemudian dia gelak. 

"Aku dah duduk kat lauk tadi," katanya. 

Lauk saki baki tadi, semuanya basi Mana-mana kawan yang ada tapau tadi, aku call dan suruh mereka buang. Adik aku memaki hamun dan menjerit-jerit malam itu. Siap dia tanya lagi, "Kenapa buat solat hajat tadi? Aku sakit, bodoh!" 

Ustaz melakukan proses tawar menawar dengan jin tersebut yang kemudian berakhir selepas beberapa jam. Aku tak pasti sama ada dah keluar habis ke belum jin itu sebab adik aku perangai dia pun macam jin juga kadang-kadang sampai sekarang ni. Dua serangan berlainan dalam masa sehari. Dugaan betul.

Ada juga mak aku pergi cari orang yang boleh tolong mencari barang yang telah hilang itu (bukan polis atau detektif). Orang-orang itu kata barang kami tak dicuri tetapi ditukar. Malas nak mencari lagi, mak aku pun biarkan. 

Beberapa bulan selepas itu kami nak pindah rumah, aku nak alihkan akuarium ikan. Terselit 10,000 rupiah di bawah akuarium tersebut. Aku teringat semula pada kes kahwin akdik aku dan mungkin inilah yang orang-orang itu katakan. Pencuri itu sudah 'tukar'. 

"Jilake, kitorang rugi beribu riban, kau tukar duit tak sampai pun RM3.00." 

Macam mana atau bagaimana duit itu boleh berada di bawah akuarium? Sampai sekarang aku tak tahu. Padahal masa letak akuarium itu aku dengan ayah yang angkat. Ada la empat kaki panjang, dua kaki lebar dan tiga kaki tinggi. Tinggi juga akuarium itu. Wallahualam. 

Sumber: Azlan Saw

Anda pernah mengalami pengalaman/peristiwa seram? Hantarkan kisah seram anda kepada kami di thereportermyofficial@gmail.com


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.