(Video) Lumpuh ditimpa anjing, mangsa saman pemilik dan semua penyewa bangunan
Dalam kejadian pada April lalu di Guangzhou, wilayah Guangdong itu, mangsa lumpu dari leher ke bawah selepas ditimpa anjing tersebut yang terjatuh dari bumbung bangunan dua tingkat tersebut.
Ekoran kejadian itu, mangsa nekad memfailkan saman terhadap pemilik dan penyewa di bangunan itu selepas tiada seorang pun yang tampil mengaku anjing itu milik mereka.
Berdasarkan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada 15 April, seekor anjing berwarna jingga dirakam jatuh tepat di atas kepala mangsa yang sedang berjalan ke pintu masuk bangunan tersebut pada jam 2 petang.
Mangsa terus terjatuh dan tidak sedarkan diri. sementara anjing itu terus melarikan diri dari tempat kejadian tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Selepas dibenarkan keluar dari hospital, mangsa, Zhang Ping, dan suaminya tinggal di sebuah hotel berhampiran memandangkan mangsa masih perlu menjalani rawatan susulan.
Disebabkan kejadian itu juga, suami dan anak mangsa terpaksa berhenti kerja untuk menjaga mangsa di mana Zhang perlu diurut setiap dua jam bagi mengelakkan ototnya tidak berfungsi.
Keluarga mangsa juga mendapati terdapat sangkar anjing di atas bumbung bangunan tersebut, yang membuktikan bahawa haiwan itu adalah haiwan belaan salah seorang penghuni di bangunan tersebut. Namun setelah tujuh bulan kejadian itu berlaku, tiada seorang pun yang tampil mengakui haiwan itu adalah milik mereka.
Peguam menasihatkan mangsa memfailkan saman terhadap pemilik dan semua penyewa di bangunan tersebut.
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment