'Don't play-play with Malaysia Onion Army' - Batal hak penganjuran kejohanan renang antarabangsa, netizen serang FB IPC


Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) membatalkan hak penganjuran Malaysia untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang akan diadakan di Kuching pada 29 Julai hingga 4 Ogos ini. 

Keputusan itu diputuskan pada mesyuarat di London selepas Kementerian Dalam Negeri Malaysia gagal memberikan jaminan diperlukan oleh perenang Para Israel untuk menyertai kejohanan, bebas dari diskriminasi dan selamat dalam kejohanan.

Presiden IPC, Andrew Parsons menjelaskan semua Kejohanan Dunia perlu terbuka kepada semua atlet dan negara yang layak untuk bersaing dengan selamat dan bebas daripada diskriminasi.

Beliau berkata, apabila negara tuan rumah tidak memasukkan atlet dari negara tertentu, atas alasan politik, pihaknya sama sekali tiada pilihan kecuali mencari tuan rumah baharu bagi kejohanan itu.

"Pada September 2017 apabila IPC menandatangani kontrak dengan Majlis Paralimpik Malaysia untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia, kami mendapat jaminan bahawa semua atlet dan negara yang layak dibenarkan menyertai acara ini dengan jaminan keselamatan mereka.

"Namun, terdapat perubahan kepimpinan politik dan kerajaan Malaysia yang baharu dan mempunyai idea berbeza. Kami kecewa atlet Israel tidak dibenarkan bersaing di Malaysia.

"Seperti keputusan hari ini, kami kini mencari tuan rumah baharu untuk Kejohanan Dunia yang penting ini, yang menjadi medan untuk kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020," katanya.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak akur dengan keputusan itu yang dibuat berdasarkan pendirian tegas Malaysia menghalang penyertaan atlet Israel memasuki negara ini.

“Kami menghormati keputusan itu yang dibuat berdasarkan Dasar Luar Negara Malaysia yang mana Sarawak sebagai negeri harus menerimanya.

“Namun pada masa yang sama, kami agak terkilan kerana IPC perlu membuat keputusan yang berat itu,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Abdul Karim berkata, sehingga kini 64 negara sudah mengesahkan penyertaan membabitkan seramai 1,678 atlet dan pegawai.

“Saya juga difahamkan tempahan penginapan sudah dilakukan dan banyak usaha sudah kita dilakukan untuk memastikan kejayaan Malaysia selaku tuan rumah kejohanan renang antarabangsa itu,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Malaysia tetap dengan pendiriannya dan keputusan tersebut dibuat atas dasar kemanusiaan dan belas ihsan mengenai nasib rakyat Palestin.

"Kami tidak akan berkompromi. Jika penganjuran suatu acara sukan antarabangsa lebih penting daripada mempertahankan hak rakyat Palestin yang dibunuh, dicacatkan dan diseksa oleh rejim Netanyahu, ini bermakna Malaysia telah kehilangan arah moralnya.

“Kami ingin mengingatkan kepada IPC yang ‘Amnesty International dan Human Rights Watch’ sendiri telah melaporkan bahawa kerajaan Netanyahu sebagai pelaku jenayah perang.

“Sebagai pemimpin Israel, beliau melambangkan tekad bersama kerajaan Israel. Negara itu bertanggungjawab sepenuhnya atas keseluruhan tindakan moral mereka,” kata Syed Saddiq.

Susulan keputusan IPC itu, laman Facebook IPC diserang netizen Malaysia yang rata-rata menunjukkan sokongan terhadap pendirian Malaysia. 




Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.