Polis selamatkan kanak-kanak yang dilarikan individu yang baru dikenali ibunya


Polis berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan telah dilarikan seorang lelaki dewasa, pagi semalam. 

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari seorang wanita berusia 36 tahun yang memaklumkan anaknya telah dilarikan oleh lelaki yang baru dikenalinya dengan menaiki kereta Perodua Kancil. 

Sebelum itu, mangsa memaklumkan, dia dan anaknya yang berusia empat tahun berada di sebuah premis di Taman Rasah Jaya, Seremban, jam 11.45 pagi.

"Bertindak atas laporan diterima, polis memburu suspek berkenaan dan berjaya mengesannya di kawasan Bukit Mantin. 

"Suspek berusia 31 tahun ditahan bersama seorang wanita berusia 40 tahun dalam kenderaan berkenaan.

"Kanak-kanak itu berjaya diselamatkan pada jam 2.20 petang tadi (semalam) dan dia dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) untuk pmeriksaan kesihatan," katanya. 

Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati lelaki itu positif dadah. 

Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung motif kanak-kanak itu dilarikan sama ada diupah, dendam atau perkara lain. 

Kedua-dua suspek akan direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan. 

Sumber: Harian Metro


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.