'Bu.. Bu.. Bu..' - Netizen sebak tengok keletah anak kecil ini rindukan arwah ibu bapanya
29 Oktober lalu, ibu bapa kepada anak kecil ini meninggal dunia dalam nahas jalan raya, sekali gus menjadikan dia anak yatim piatu.
Lans Koperal Muhammad Shakiran dan isterinya, Nurul Ashikin Kamaruddin, maut apabila motosikal yang ditunggangi mereka terbabit dalam kemalangan. Lebih menyedihkan, Nurul Ashikin juga disahkan mengandung dua minggu.
Semenjak itu, Muhammad Arfan Zikri, kini dijaga oleh neneknya di Bachok, Kelantan.
25 Disember lalu, bapa saudaranya, Nur Azuan Shamsudin, memuat naik gambar Arfan yang melawat pusara ibu bapanya. Menurut Azuan, Arfan seolah-olah memanggil ibunya dan enggan pulang kerana rindukan ibunya.
"Petang ni bawa pergi kubur abi dan ibu, suka seolah-olah nak bercakap dengan ibu. Bila cakap ibu kat sini, dia pun duk 'bu.. bu.. bu..' seolah-olah memanggil.
"Tak nak balik, suka duk main pasir di situ. Kat rumah tak main pasir pun. Allahu, jelas nampak dia rindu. Tarik tangan nak balik pun tak mau. Nanti kita mai lagi ye Arfan," tulis Azuan di kapsyen posting tersebut yang membuatkan netizen terasa sau.
Memetik kenyataan Azuan di Harian Metro, dia pada hari itu kebetulan cuti dan pulang ke kampung bersama keluarganya, untuk melawat Arfan. Keletah Arfan di pusara ibu bapanya itu juga mengundang perasaan sebak mereka sekeluarga.
"Sekejap dia duduk, kemudian berdiri dan mengelilingi kubur arwah adik dan adik ipar saya. Dia asyik menguis pasir di kubur bermain-main sambil melayan perasaan hampir lima ke 10 minit.
"Ajak dia balik sebab hari sudah lewat pun dia enggan dan terus duduk di tepi kubur ibu bapanya sambil bermain pasir. Saya jadi sebak tengok keletah Arfan, walaupun tidak menangis tapi kami tahu dia sangat rindukan kedua-dua arwah," katanya.
Sumber: Nur Azuan Shamsuddin, Harian Metro
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment