Remaja maut selepas terjun dari tingkat 9 kerana rasa bersalah curi handphone


Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun mengambil keputusan untuk membunuh diri selepas tidak dapat lagi menanggung rasa bersalah mencuri telefon bimbit di pejabat guru di sekolahnya. 

Lapor Sin Chew Daily, pelajar sekolah menengah di China itu yang dikenali sebagai Xiao Huan terjun dari tingkap bilik kediamannya di tingkat 9 pada 2 September lalu. Turut ditemui sekeping nota terakhir dari Xiao Huan. 

"Mak, ayah, kamu tidak sepatutnya membesarkan saya kerana kamu akan menyesal mempunyai anak seperti saya. Saya tidak mahu semua ini. Selamat tinggal," tulisnya pada nota tersebut. 

Dalam nota itu juga, dia mengaku telah mencuri telefon bimbit di pejabat sekolah. 

Difahamkan, pada hari kejadian itu, ibu Xiao Huan menerima panggilan dari guru kelas anaknya yang memaklumkan Xiao Huan telah mencuri telefon bimbit yang dirampas dari pelajar, yang disimpan di pejabat. 

Menurut guru itu, Xiao Huan ada menghantar beberapa mesej kepada rakan sekelasnya tetapi menafikan dakwaan mencuri telefon itu ketika dia ditangkap. 

Ibu Xiao Huan bergegas ke sekolah dan selepas disiasat, Xiao Huan mengaku dan menyerahkan telefon itu semula kepada guru serta memohon maaf. 

Kira-kira jam 2.20 petang, si ibu menghantar Xiao Huan pulang ke rumah dan dia kembali ke tempat kerjanya. Namun, dia berasa tidak senang hati dan pulang ke rumah pada jam 3 petang. 

Sebaik tiba di rumah, dia mengetuk pintu tetapi tiada respon, lalu dia menghubungi suaminya untuk pulang ke rumah.

Apabila mereka dapat masuk ke rumah, kelibat Xiao Huan tidak kelihatan membuatkan mereka panik dan mula mencarinya sehinggalah mereka mendapati tingkap biliknya terbuka luas. 

Bila dijenguk keluar, mereka ternampak Xiao Huan yang masih memakai seragam sekolah terbaring berlumuran darah di tingkat bawah. 

Ibu bapa Xiao Huan segera pergi ke balai polis untuk membuat laporan. 

Ibu Xiao Huan mendedahkan, telefon bimbit milik salah seorang rakan sekelas anaknya dirampas oleh guru dan Xiao Huan bersetuju untuk mendapatkan telefon itu semula memandangkan mereka adalah kawan baik, malah hanya Xiao Huan yang boleh masuk ke pejabat guru. 

Ibu remaja itu percaya anaknya tidak mempunyai niat untuk mencuri telefon itu. Xiao Huan membunuh diri selepas dituduh di depan ibunya kononnya dia mencuri telefon itu di mana perkara itu memalukan dirinya. 

Ibu Xiao Huan yakin ada sebab yang lain di sebalik tindakan anaknya itu dan dia tidak percaya anaknya sanggup membunuh diri hanya disebabkan tuduhan mencuri itu. 



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.