77 pelajar dipaksa makan najis oleh 2 pelajar senior
Seramai 77 pelajar di sebuah sekolah di Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia, dipaksa makan najis oleh dua pelajar senior pada 19 Februari 2020.
Menurut salah seorang mangsa, sebelum kejadian itu berlaku dia bersama beberapa rakannya baru selesai makan dan mahu kembali ke asrama untuk berehat.
Apabila tiba di asrama, salah seorang dari dua pelajar senior itu menemui najis manusia dalam sebuah almari kosong. Senior itu kemudian memanggil semua pelajar junior dan bertanya siapa yang menyimpan kotoran itu.
Oleh kerana tiada yang mengaku, maka dia terus menyedok najis itu dan disuap ke mulut semua pelajar junior dan memberi amaran agar tidak menceritakan perbuatan mereka itu kepada sesiapa.
Mangsa-mangsa terpaksa menjalani 'hukuman' itu kerana tidak berani melawan.
"Kami terima dan pasrah. Jijik sangat, tapi kami tak dapat melawan," katanya.
Mangsa juga tidak berani melaporkan kejadian itu kepada ibu bapa masing-masing kerana bimbang akan diseksa oleh dua pelajar senior itu.
Bagaimanapun, kes itu terbongkar pada 21 Februari 2020, selepas ada ibu bapa pelajar yang membuat aduan di WhatsApp group sekolah.
Martinus, bapa kepada salah seorang mangsa berkata, dia sangat kecewa dengan perbuatan dua pelajar senior itu.
"Pihak sekolah perlu ambil tindakan tegas terhadap dua pelajar senior ini yang jelas sekali melampau. Kalau perlu, buang sekolah saja.
"Saya juga mengambil keputusan untuk memindahkan anak dari sekolah ini. Biar pindah dan bersekolah di sekolah lain," katanya.
Sementara itu, pengetua sekolah terbabit, Romo Deodatus Du'u mengesahkan kejadian itu berlaku pada sekitar jam 2.30 petang Rabu 19 Februari 2020.
Namun, Romo mendakwa penggunaan perkataan 'makan' oleh pihak media adalah kurang tepat kerana dua pelajar senior itu hanya menyentuh bibir atau lidah kesemua mangsa dengan penyedok yang hujungnya terkena najis tersebut.
Jelas Romo, dua pelajar senior itu ditugaskan untuk menjaga kebersihan asrama dan salah seorang daripadanya menemui plastik yang mengandungi najis manusia.
Dua pelajar senior itu mengarahkan kesemua pelajar junior terbabit untuk berkumpul dan bertanya siapa yang melakukan perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu dan berlakulah perkara yang tidak diingini tersebut.
Justeru, pihak sekolah telah memohon maaf di atas insiden itu di hadapan semua ibu bapa mangsa.
Dua pelajar senior berkenaan juga telah dibuang dari sekolah itu. Manakala kesemua mangsa diberikan kaunseling agar tidak mengalami trauma.
Sumber: Kompas
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment