Pramugari Malaysia Airlines dipecat kerana terlebih berat badan 0.7kg


Seorang pramugari Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang telah berkhidmat selama 25 tahun dipecat kerana berat badan berlebihan, 0.7 kilogram berbanding had berat yang telah ditetapkan untuk kru kabin. 

Ina Meliesa Hassim kemudian membuat aduan terhadap MAB dan kes itu dibawa ke mahkamah pada 2017. Tetapi, keputusan perbicaraan di mahkamah pada 14 Februari lalu memihak kepada MAB. 

Difahamkan ketika dipecat, Ina Meliesa yang mempunyai ketinggian 160 sentimeter dengan berat badannya 61.7 kilogram. Mengikut peraturan syarikat penerbangan itu, had berat badan yang ditetapkan adalah 61 kilogram. 

Pengerusi Mahkamah Perusahaan, Syed Noh Said Nazir menjelaskan MAB telah membuktikan bahawa keputusan memecat Ina adalah adil di mana MAB sebelum itu telah memberi peluang selama 18 bulan kepada Ina untuk mengikuti program pengurusan berat badan. Tetapi Ina gagal mencapai had berat yang ditetapkan. 

Had berat yang ditetapkan oleh MAB adalah mengikut BMI dan berdasarkan ketinggian Ina iaitu 160 sentimeter, had berat yang ditetapkan adalah 61 kilogram, namun berat terakhir Ina yang direkodkan pada 10 April 2017 adalah 61.7 kilogram. 

Sementara itu, Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Penerbangan Malaysia (NUFAM) tidak menyenangi keputusan mahkamah itu dan menganggap keputusan itu adalah tidak beperikemanusiaan serta melanggar hak asasi manusia. 

"Anak kapal ini sudah berkhidmat lebih 20 tahun dan bukannya mereka tidak lagi memiliki prestasi yang tidak bagus. 

"Tidak sewajarnya diletakkan had atau diskriminasi dalam industri penerbangan hari ini kerana kita berada dalam era baharu. Jadi, kenapa tidak undang-undang ini diubah untuk memberi pelindungan kepada pekerja," katanya. 



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.