Kerajaan setuju pemandu mabuk dipenjara 20 tahun


Kerajaan dilaporkan akan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 berikutan kekerapan kes kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk menjadi punca kemalangan sehingga menyebabkan kematian. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, pindaan undang-undang itu kelak akan mengenakan denda yang lebih tinggi termasuk mengenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun terhadap pemandu mabuk. 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah diarahkan untuk mengubal akta tersebut. 

"Secara prinsipnya, Kerajaan bersetuju dengan penggubalan akta itu kerana pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kematian perlu menerima hukuman yang setimpal," katanya. 

Pada ketika ini, pemandu yang didapati bersalah kerana memandu di bawah pengaruh alkohol didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000.

Ketika ditanya mengenai kecuaian memandu sehingga menyebabkan kematian sebagai kesalahan membunuh tanpa niat, Vui Keong berkata, pihak pendakwaraya boleh berbuat demikian mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

"Tetapi kebayakan kes kemalangan, pendakwaraya akan tuduh di bawah Akta Pengangkutan Jalan," katanya.

Ketika ini undang-undang memperuntukkan individu memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987, hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 43, Akta Pengangkutan Jalan 1987, membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.