'Dia tidak terlibat, namanya dipergunakan' - Anwar pertahankan Mahathir


Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan ketelibatan Tun Dr Mahathir dalam usaha menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) oleh serpihan PKR bagi mewujudkan kerajaan gabungan baru. 

Beliau berkata, nama Mahathir telah dipergunakan untuk kepentingan pihak berkenaan. 

"Tidak, saya tidak fikir beliau (terlibat). Namanya digunakan oleh orang dalam dan luar parti dan beliau menyatakannya sekali lagi seperti sebelum ini, beliau tak ada peranan. 

"Beliau sangat jelas (pendiriannya), tidak mungkin untuk beliau bekerjasama dengan sesiapa yang ada kaitan dengan rejim lalu," katanya. 

Jelas Anwar, dia ada cuba memujuk tetapi Mahathir kecewa kerana dikaitkan dengan pihak yang 'korup'. 

"Saya ada merayu kepada beliau bagi pihak PKR dan PH. Pengkhianatan ini boleh ditangani bersama, tetapi sudah tentu beliau ada pandangan yang berbeza. 

"Beliau berpendapat tidak wajar untuk beliau dilayan begitu, dikaitkan untuk bekerja dengan perasuah," katanya. 

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, mereka akan mencalonkan semula Mahathir sebgai Perdana Menteri supaya janji yang terkandung dalam manifesto PH dapat dikotakan. 

Bila ditanya mengapa DAP masih mahu Mahathir kekal, Guan Eng berkata, Mahathir adalah individu yang berprinsip dan menolak kerjasama pintu belakang dengan parti pembangkang. 

"Apabila Perdana Menteri cakap kepada kamu  beliau nak letak jawatan sebab prinsipnya, bukankah itu detik yang sangat beremosi? 

"Kita ada perdana menteri, seorang individu yang enggan bekerjasama dengan parti kalah PRU lalu dan seorang yang menolak kerjasama pintu belakang. 

"Kita adalah kerajaan dibentuk melalui pemilihan yang demokratik. Jadi, kita rasakan bahawa Dr Mahathir patut terus dan habiskan apa yang ingin dilakukan termasuk mempengerusikan APEC," katanya. 



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.