Ibu hamil alami keguguran selepas 4 jam menunggu rawatan sakit perut di hospital
Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (KKH) Singapura sedang menyiasat dakwaan seorang wanita hamil yang terpaksa menunggu selama empat jam untuk dirawat kerana sakit perut sehingga menyebabkan dia mengalami keguguran.
Prof Tan Hak Koon, pengerusi Bahagian Obstetrik dan Ginekologi di KKH berkata, insiden itu berlaku di Bahagian Kecemasan O&G dan pihaknya memandang serius aduan wanita itu dan sedang menjalankan siasatan.
Terdahulu, wanita itu mendakwa kejadian tersebut berlaku pada 28 Februari lalu yang turut dikongsikannya di media sosial. Ketika itu kandungannya berusia 20 minggu dan dia telah disahkan positif Covid-19.
Dia cuba mendapatkan rawatan di dua hospital swasta selepas mengalami sakit perut yang teruk. Tetapi dia tidak mendapat rawatan di kedua-dua hospital yang tidak dinamakan kerana dia perlu dirawat oleh pakar sakit puan memandangkan dia telah disahkan positif Covid-19.
Wanita itu kemudian tiba di KKH pada jam 2 petang untuk mendapatkan rawatan, namun telah diminta untuk menunggu di kawasan 'drop-off'.
Pada jam 5 petang, dia mula mengalami pendarahan tetapi masih tidak diberikan rawatan. Sehinggalah jam 6 petang, dia bertemu dengan doktor dan dimaklumkan bahawa dia mengalami keguguran.
Kes tersebut merupakan kes kedua selepas kes pertama yang membabitkan seorang wanita hamil 36 minggu mengalami pendarahan, terpaksa menunggu di Jabatan Kecemasan Hospital Universiti Nasional (NUH) selama dua jam dan disahkan mengalami keguguran.
NUH dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu lalu memohon maaf dan berkata mereka sepatutnya memantau dan menjaga wanita itu dalam kejadian yang berlaku pada 15 Mac lalu.
Hospital berkenaan kini sedang mengkaji semula prosedur menguruskan ibu hamil yang dimasukkan ke Jabatan Kecemasan agar kejadian seumpama itu tidak berulang.
Sumber: Asia One
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment